Kerajaan diminta kaji semula proses ambil pembantu rumah
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Kerajaan diminta mengkaji semula proses pengambilan pembantu rumah dan menubuhkan pusat sehenti bertujuan menjadi pusat aduan dan penyelarasan terhadap setiap permasalahan yang timbul melibatkan pembantu rumah.
Ketua Wanita UMNO Selangor, Datuk Nor Hayati Onn berkata, beberapa pendekatan baharu perlu diambil memandangkan kos yang ditanggung ketika ini antara RM8,000 hingga RM12,000 terlalu tinggi menyebabkan ramai majikan membuat keputusan mendapatkannya secara haram.
Katanya, golongan berpendapatan sederhana juga tidak mampu menanggung kos tersebut menyebabkan ramai golongan isteri terpaksa berhenti kerja yang secara tidak langsung mengurangkan tenaga mahir wanita dalam sektor pekerjaan.
"Ketika ini, peraturan sedia ada dilihat menyebelahi agensi pengambilan pembantu rumah sedangkan majikan terpaksa menanggung kerugian terhadap kos yang dilaburkan dan mengeluarkan kos lain untuk mendapatkan perkhidmatan baru jika timbul masalah.
"Kerajaan perlu memandang serius perkara ini termasuk mengkaji semula proses pengambilan pembantu rumah dan membina pusat sehenti bertujuan menjadi pusat aduan dan penyelarasan terhadap segala permasalahan yang berbangkit melibatkan jabatan dan kementerian yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas isu pembantu rumah asing yang melarikan diri daripada majikan sehingga menyebabkan berlaku kerugian memandangkan kos untuk memiliki seorang pembantu rumah sangat tinggi.
Laporan khas Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan seramai 105,119 pembantu rumah asing melarikan diri dari 2008 hingga 2013 melibatkan kos sebanyak RM1 bilion.
Sementara itu, Pengerusi Gerakwanis Gerakan Belia 4B Kuala Lumpur, Fazlinda Mat Saad berkata, kerajaan perlu mengiktiraf pembantu rumah sebagai kerjaya alternatif kepada wanita tempatan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap warga asing sehingga menimbulkan pelbagai masalah.
Ini kerana katanya, wanita tempatan bukan sahaja mampu melakukan kerja tersebut, malah mereka lebih terlatih selain memahami budaya dan gaya hidup majikan masing-masing.
"Wanita tempatan juga sudah biasa melakukan kerja rumah, jika dianggap sebagai satu kerjaya pasti dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh sehingga dapat memuaskan hati majikan.
"Jadi, apa salahnya kalau kita bantu orang tempatan dengan membayar gaji lebih daripada RM1,000. Saya rasa wanita di kilang menyukainya kerana tidak perlu bekerja secara syif," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment