My Add

Wednesday, 7 May 2014

Kes HIV babitkan golongan muda amat membimbangkan - Dr. Hilmi

GEORGETOWN, RABU, 07 Mei, 2014: Kes HIV/AIDS dalam kalangan remaja dan golongan muda amat membimbangkan apabila 78.8 peratus daripada jumlah kes yang dilapor melibatkan golongan berumur antara 20 hingga 30 tahun.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan kempen kesedaran dan pencegahan untuk mengubah cara hidup golongan muda supaya tidak terlibat dalam seks rambang dan pengambilan dadah.

``Seks rambang merupakan penyumbang utama dalam kes HIV diikuti penyalahgunaan dadah,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran HIV/AIDS anjuran Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia, di sini hari ini.

Dr. Hilmi berkata, pelbagai program dijalankan di peringkat kementerian bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti memberi jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah bagi mengurangkan kadar jangkitan HIV.

Beliau berkata walaupun usaha itu menjadi kontroversi, ia bukan untuk menggalakkan perlakuan seks rambang tetapi lebih kepada mencegah jangkitan HIV kepada orang lain.

Dr. Hilmi berkata, Kementerian Kesihatan membelanjakan RM185 juta setahun untuk rawatan AIDS termasuk ubat-ubatan dan RM26 juta daripada jumlah itu adalah untuk kempen pencegahan.

Mengenai wabak `middle east respiratory syndrome coronavirus' (MERS-CoV) yang meragut nyawa seorang lelaki berumur 54 tahun dari Batu Pahat, Johor selepas pulang dari Mekah 29 Mac lepas, Hilmi berkata Kementerian Kesihatan terus memantau wabak itu.

Beliau berkata kes itu adalah yang pertama dan tiada lagi kes dilaporkan sehingga hari ini.

Dr. Hilmi menasihati orang ramai yang bakal ke Mekah untuk mengerjakan umrah dan haji supaya memakai topeng muka dan tidak melawat ladang unta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment