KLCI dijangka bergerak dalam jajaran kecil
KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Mei, 2014: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam jajaran kecil minggu depan, antara 1,850 hingga 1,870 mata berikutan kebimbangan terhadap kenaikan kadar faedah, ketegangan di Ukraine, penurunan dalam harga komoditi serta kurang minat terhadap kebanyakan aset selamat.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan, Runcit Affin Investment Bank, Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata data pekerjaan Amerika Syarikat yang lebih kukuh daripada dijangka memberi tanggapan bahawa Rizab Persekutuan AS berkemungkinan melaksanakan lebih awal langkah mengetatkan kewangan dan menjejaskan sentimen pengambilan risiko.
"Bagi minggu depan, pedagang mungkin mengumpul dagangan dan mendapatkan semula saham yang menunjukkan prestasi yang baik minggu lepas setelah komoditi pulih dan ringgit turun," katanya kepada Bernama.
Secara keseluruhan, Nazri berkata indeks penanda aras tempatan masih dalam proses pengukuhan daripada kenaikan dalam tempoh Februari hingga April sebanyak 5.8 peratus, dipacu oleh peningkatan sentimen defensif dan penilaian saham modal kecil yang tinggi dengan pusingan sektor ke arah lebih banyak saham mewah, bermodal besar.
"Selain kita tidak menjangka FBM KLCI akan 'terperangkap' dengan kelemahan semasa, kita yakin Bursa Malaysia akan mendapat faedah daripada penurunan serantau, berada pada kedudukan melebihi 1,870 mata dan kembali pada momentum menaiknya.
"Kedudukan ini berlaku meskipun dalam terlebih beli bagi tempoh tiga bulan lepas," katanya.
Bagi asas minggu ke minggu, FBM KLCI berakhir 2.6 mata lebih rendah pada Jumaat kepada 1,866.72 mata berbanding 1,869.08 mata yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.
Indeks Kewangan susut 48.46 mata kepada 17,023.76 mata, Indeks Perusahaan turun 7.57 mata kepada 3,183.29 mata, manakala Indeks Perladangan melonjak 89.73 mata kepada 9,152.02 mata.
Indeks FBM Emas susut 29.73 mata kepada 12,903.73 mata, Indeks FBMT100 turun 30.95 mata kepada 12,552.18 mata dan Indeks FBM 70 merosot 93.61 mata kepada 14,003.85 mata. FBM Ace naik 30.64 mata kepada 6,589.49 mata. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment