Malaysia rakan dagang strategik bagi Uzbekistan
TASHKENT, RABU, 07 Mei, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia bukan sahaja merupakan rakan dagang yang diyakini dan berdaya saing bagi Uzbekistan, malah boleh menjadi landasan terbaik untuk memasuki pasaran negara ASEAN yang mempunyai kira-kira 600 juta pengguna.
Justeru menurut Timbalan Perdana Menteri, penting bagi entiti perniagaan kedua-dua negara meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan khususnya dalam bidang minyak dan gas, logistik, infrastruktur, pembinaan, perancangan bandar dan pendidikan.
"Malaysia mempunyai banyak sumber dan antara negara yang paling kompetitif di dunia. Menurut laporan World Bank Doing Business 2014, Malaysia pada kedudukan keenam sebagai negara paling mudah untuk berurus niaga.
"Ini termasuk menduduki tempat pertama dalam kategori mendapat kredit, keempat dalam melindungi pelabur, kelima menjalankan perdagangan merentasi sempadan dan keenam paling kompetitif dalam kalangan 189 ekonomi dunia," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Meja Bulat dengan peneraju industri dari Malaysia dan Uzbekistan di International Hotel, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perhubungan Ekonomi Luar, Pelaburan dan Perdagangan Uzbekistan, Elyor Ganiev: Duta Malaysia ke Uzbekistan, Abd. Aziz Harun; Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Uzbekistan, Shaykhov Alisher Erkinovish dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dr. Wong Lai Sum.
Timbalan Perdana Menteri berkata, berdasarkan laporan Global Enabling Trade Report (GETR) 2012 yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia berpangkalan di Geneva yang merangkumi 132 negara, status terkini Malaysia disahkan melonjak enam anak tangga pada kedudukan ke-24. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment