My Add

Thursday, 8 May 2014

Selangor digesa henti sikap degil tangani krisis air

KUALA LUMPUR, RABU, 07 Mei, 2014: Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor digesa menghentikan sikap degil apabila menolak ramalan Jabatan Meteorologi bahawa negeri itu sekali lagi bakal berdepan krisis bekalan air bersih berikutan cuaca kering dan panas yang dijangka melanda seluruh negara pada awal bulan depan.

Presiden Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Swan), Aldric Loong Kim Yew berkata, sikap degil tidak dapat membantu negeri itu untuk berdepan dengan krisis tersebut malah akan terus memberi kesan negatif kepada rakyat.

Menurutnya, sudah tiba masanya untuk Kerajaan PKR Selangor menerima nasihat atau cadangan daripada pakar jabatan air untuk bersama-sama menangani krisis tersebut dan negara ini juga memiliki ramai pakar dalam bidang itu.

"Hentikan sikap degil dan enggan menerima nasihat atau cadangan daripada pihak yang arif mengenai situasi air dan cuaca masa kini.

"Tidak ada salahnya jika nasihat atau cadangan daripada pakar-pakar air diguna pakai untuk tujuan kebaikan dan kegunaan rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi semalam yang mendakwa kerajaan negeri sudah cukup bersedia dengan membuat kajian dan perancangan untuk memastikan bekalan air mentah mencukupi.

Menurutnya, antara usaha yang dibuat termasuk melakukan pembenihan awan bagi meningkatkan paras air di empangan.

Sementara itu, Kim Yew berkata, langkah yang perlu diambil oleh Kerajaan PKR Selangor kini adalah meningkatkan kesedaran rakyat mengenai penggunaan air menerusi kempen.

Katanya, kesedaran menggunakan air secara berhemah perlu ada bagi menjamin kelangsungan bekalan yang tidak dapat dijangka.

"Daripada terus bersikap keras kepala dan menyalahkan mana-mana pihak, kerajaan negeri seharusnya mengadakan kempen bagi mengajak rakyat untuk menggunakan air dengan bijak.

"Menerusi kempen itu, pelbagai alternatif untuk menjimatkan air boleh didedahkan kepada rakyat termasuk menyimpan air hujan untuk kegunaan pembersihan di rumah atau menyiram tumbuh-tumbuhan. Semua perkara akan menjadi mudah jika wujud sikap toleransi dan tanggungjawab," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment