My Add

Tuesday 27 May 2014

Pastikan semua produk patuhi Akta Makanan 1983

KUALA LUMPUR, ISNIN 26 Mei, 2014: Kementerian Kesihatan mengingatkan pihak industri dan pengimport supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk keluaran dan yang diimport mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Ia ditegaskan oleh Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam susulan penemuan dua sampel produk coklat berjenama Cadbury iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine) baru-baru ini.

Beliau berkata, kementerian akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pematuhan standard makanan dan pelabelan serta kebersihan makanan seperti yang diperuntukkan di bawah akta terbabit.

"Berhubung isu penemuan DNA babi dalam produk coklat itu, kementerian ingin memaklumkan semua urusan berkaitan pensijilan halal akan terus dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), manakala kementerian akan terus menjalankan pemantauan berdasarkan kepada kuasa di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Subramaniam berkata, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 bertujuan melindungi orang awam dari segi kesihatan dan penipuan merangkumi aspek penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan serta perkara-perkara berkaitan dengannya.

Untuk itu, katanya, label makanan amat penting kepada pengguna kerana perkara itu membolehkan pengguna membuat pemilihan makanan yang bermaklumat.

Beliau memberitahu, peruntukan pelabelan yang berkaitan dengan perkara tersebut di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah:

i) Peraturan 11(1)(c) menghendaki produk makanan yang mengandungi daging lembu atau daging babi atau terbitan­nya dilabel dalam bentuk seperti 'Mengandungi (nyatakan sama ada daging lembu atau daging babi atau terbitannya atau lemak babi atau mengikut mana yang berkenaan)';

ii) Peraturan 11(1)(f) menghendaki nama biasa haiwan dilabel jika makanan tersebut mengandungi minyak makan atau lemak makan daripada haiwan;

iii) Peraturan 11(3) memerlukan nama biasa haiwan dilabel jika ramuan makanan atau bahan tambahan makanan ialah daripada sumber haiwan.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan pengguna untuk membaca label makanan supaya dapat membuat pilihan yang bermaklumat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment