My Add

Tuesday 27 May 2014

Perkasa desak siasatan terhadap semua syarikat

KUALA LUMPUR, ISNIN 26 Mei, 2014: Siasatan rapi serta menyeluruh terhadap semua syarikat yang menghasilkan produk makanan atau produk kegunaan awam perlu dibuat dengan segera ekoran penemuan Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine) dalam dua sampel coklat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. (Cadbury).

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Mohd. Khairi Hussin berkata, langkah segera itu perlu dibuat memandangkan umat Islam di negara ini melebihi 60 peratus, menjadikan mereka kumpulan pengguna terbesar di Malaysia.

Menurutnya, siasatan rapi dan menyeluruh itu perlu disusuli dengan hukuman lebih berat kepada mana-mana pihak yang cuai, tidak bertanggungjawab serta melanggar sebarang peraturan mahupun undang-undang berkaitan.

"Dalam melaksanakan langkah ini, semua agensi kerajaan yang berkaitan perlu bertindak secara bersepadu, pantas dan cekap bagi mengelak kekeliruan serta salah faham di kalangan masyarakat kerana kita tidak mahu wibawa dan integriti agensi berkenaan tercalar.

"Kepada pengguna pula, mereka perlu mengelak daripada membeli, memakan atau menggunakan sebarang produk yang meragukan dan jika terdapat sebarang kemusykilan, orang ramai perlu merujuk kepada pihak berkaitan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Khairi berkata, Perkasa bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sedia menggerakkan kempen memboikot semua produk Cadbury jika tiada kesungguhan dan jaminan kejadian sama tidak berulang.

"Kita tidak boleh menerima sebarang kegagalan pihak syarikat untuk mematuhi setiap prosedur dalam pensijilan halal kerana kegagalan berbuat demikian merupakan satu penipuan kepada umat Islam dan ini membabitkan soal halal dan haram," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment