My Add

Wednesday 28 May 2014

Pemberian diesel subsidi perlu dikaji

Oleh AZRAI MOHAMMAD

 * PASUKAN khas polis menyerbu sebuah kapal yang menyeludup diesel bersubsidi secara haram dalam operasi di perairan Sungai Rengit, Kota Tinggi, Johor, kelmarin. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
KUALA LUMPUR, SELASA 27 Mei, 2014: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa kerajaan agar mengkaji semula mekanisme pemberian diesel bersubsidi memandangkan badan tersebut telah mengesan banyak ketirisan dalam proses pembahagian bahan bakar berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, saranan ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mencegah kegiatan penyeludupan diesel yang mengakibatkan kerugian wang kepada kerajaan.

Menurut beliau, sejak lima tahun lalu, SPRM telah melakukan 90 tangkapan membabitkan penyelewengan diesel melibatkan pihak berkuasa dan kumpulan yang ingin menjalankan aktiviti itu.

"Hasil siasatan mendapati mereka yang terbabit begitu mudah cuba merasuah pihak berkuasa dan ini menyebabkan penguatkuasa terpanggil untuk mengambil tindakan tegas terhadap perasuah.

"SPRM sudah memantau isu ini sejak lima tahun lepas bagi memantau penyeludupan diesel," katanya ketika ditemui selepas program Bengkel Kewartawanan Bersama SPRM memerangi rasuah di Ibu Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada 25 Mei lalu, Utusan Malaysia dalam laporan muka depan memaparkan maklum balas pelbagai pihak yang menggesa supaya sistem pengagihan diesel dan petrol bersubsidi dikaji semula dalam usaha membanteras penyelewengan bahan bakar itu.

Menurut laporan tersebut, ketika ini kaedah pengagihan sedia ada terlalu longgar sehingga membolehkan sindiket mengambil kesempatan termasuk merasuah anggota agensi penguat kuasa.

Mengulas lanjut Abu Kassim berkata, dalam kes terbaharu pada minggu lalu, pihaknya telah menahan seorang individu yang cuba merasuah penguatkuasa sebanyak RM10,000 berkaitan penyelewengan diesel.

Ujar beliau, sekiranya ketirisan ini dapat dikurangkan, lebihan peruntukkan terbabit boleh disalurkan oleh kerajaan kepada perkara membabitkan kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, Abu Kassim menggesa pihak berkuasa dan orang ramai supaya tampil mengemukakan aduan berhubung kegiatan itu bagi membantu SPRM membendung penyelewengan diesel.

Katanya, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat kepada SPRM tidak perlu takut untuk berbuat demikian kerana mereka dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

"Mereka boleh mengadu secara rahsia kepada SPRM bagi melindungi mereka daripada dikenakan sebarang tindakan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment