My Add

Wednesday 28 May 2014

Perkhidmatan polis perlu dipertingkatkan

 * MUHYIDDIN Yassin melakukan pemeriksaan perbarisan anggota Polis Diraja Malaysia pada majlis perasmian bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di Jalan Bakau Chondong, Batu Pahat, Johor, semalam. - UTUSAN/ISHAK RAHMAD
BATU PAHAT, SELASA 27 Mei, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembangunan ekonomi dan perkembangan sosial semasa memerlukan perkhidmatan polis dipertingkatkan keupayaannya untuk mendepani persekitaran yang kian kompleks.

Timbalan Perdana Menteri ber­kata, kelengkapan logistik dan prasarana terkini merupakan satu keperluan bagi memperkasakan perkhidmatan polis supaya berkelas dunia.

Menurut beliau, perkhidmatan polis tidak boleh ketinggalan kerana dunia begitu dinamik dalam serba-serbi termasuk fenomena sosial dan tingkah laku penjenayah.

"Seiring dengan tahap kepakaran yang diperluaskan, polis perlu terus meningkatkan keupayaan dalam penugasan mereka. Oleh itu, prasarana terbaik perlu diberikan agar berada selari dengan pembangunan negara," katanya semasa merasmikan bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Bakri Zinin; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohamad Aziz dan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Muhyiddin berkata, antara strategi pembangunan yang dilakukan adalah membina bangunan yang bersesuaian selain mewujudkan kelengkapan kuarters kepada pegawai, anggota dan pegawai awam.

Menurutnya, para pegawai polis juga perlu menitikberatkan aspek keilmuan dan kepakaran menerusi pengalaman.

"Budaya kepolisan yang telah menjangkau usia 206 tahun harus dijadikan sandaran, tetapi perlu diperkemaskan lagi dengan teknologi terkini dan penyesuaian semasa.

"Keupayaan pasukan polis yang terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bertujuan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat seiring dengan kemajuan penduduk," katanya.

Mengulas lanjut, kata Muhyiddin, masyarakat meletakkan harapan kepada pasukan polis disebabkan persepsi jenayah yang tinggi tetapi bertentangan dengan tahap keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap pasukan beruniform itu.

"Namun, apabila Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program Transformasi Kerajaan diperkenalkan, usaha-usaha merapatkan jurang tersebut telah dapat dilakukan menerusi kejayaan polis menurunkan indeks jenayah di samping meningkatkan tahap keyakinan orang ramai kepada pasukan tersebut.

"Tetapi, harapan itu tidak dapat diterjemahkan dalam tempoh singkat dan secara jangka panjang kadar indeks jenayah, kadar pendakwaan, kadar penyelesaian kes serta lingkaran keyakinan dan persepsi negatif akan dapat distabilkan pada kadar yang lebih realistik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment