Penduduk sambut baik sembilan langkah JKKN
LAHAD DATU, RABU, 07 Mei -, 2014: Sembilan langkah drastik yang diputuskan Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) disambut0 baik dan disifatkan penduduk sebagai satu usaha dalam memastikan negeri ini selamat daripada sebarang ancaman jenayah.
Rata-rata penduduk yang ditemui Utusan Malaysia melahirkan rasa lega dan berterima kasih dengan langkah drastik tersebut yang disokong dengan tahap kesiapsiagaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Bagi seorang penduduk, Asgali Mat Sali, 74, penguatkuasaan sembilan langkah itu nanti membuktikan keprihatinan kerajaan dengan kebajikan dan keselamatan penduduk termasuk pelancong di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
"Ini akan memantapkan lagi kawasan ini, contohnya perintah berkurung iaitu pasukan keselamatan boleh menahan sesiapa yang bergerak tanpa terlebih dahulu mendapat permit polis," kata seorang penduduk, Ani Johan, 42.
Seorang lagi penduduk, Khairul Bidin, 45, berkata, walaupun kejadian jenayah culik banyak berlaku di kawasan laut, namun ia turut memberi impak kepada penduduk yang tinggal di bandar sekiranya tiada penguatkuasaan daripada pihak berkuasa.
"Kita di bandar turut merasai impak setiap kejadian walaupun ia berlaku jauh di pulau-pulau. Oleh itu, dengan kecekapan kerajaan negeri memutuskan sembilan langkah drastik ini, ia sedikit sebanyak menjamin tahap keselamatan penduduk secara keseluruhannya," katanya.
Pendapat sama turut diluahkan Norbaizura Akop, 24, apabila setiap kali kejadian penculikan berlaku di pulau-pulau di daerah ini, penduduk yang berada di bandar turut menerima kesan yang sama.
Namun, katanya selepas penubuhan Esscom, keadaan keselamatan bertambah selamat sekali gus mengurangkan perasaan takut dalam kalangan penduduk selepas insiden pencerobohan Pengganas Kiram tahun lalu.
Semalam, JKKN yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman memutuskan sembilan langkah drastik bagi menangani kes penculikan di Esszone, antaranya ialah bakal melaksanakan perintah berkurung di beberapa kawasan berisiko tinggi, termasuk mengehadkan pergerakan keluar masuk manakala setiap urusan perlu mendapat kebenaran serta permit daripada polis.
Selain itu, pergerakan bot dan kapal juga diwajibkan mengikuti laluan yang dibenarkan dengan dipantau secara terus oleh Esscom di pangkalan hadapan yang bakal diwujudkan di kawasan strategik. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment