Pertahankan prinsip, nilai kesederhanaan
Oleh HUSSAINI AMRAN
KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Mei, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu melihat UMNO terus cekal dan tegas mempertahankan prinsip dan nilai kesederhanaan yang menjadi teras perjuangan parti dalam mengimbangi tuntutan politik masa kini.
Timbalan Presiden UMNO berkata, parti itu sedang berhadapan dengan desakan-desakan yang akan menjejaskan kestabilan, keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini jika tidak ditangani dengan penuh hikmah.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, ketegangan wujud dalam masyarakat ekoran tindak-tanduk golongan yang mahukan kebebasan dan kesamarataan yang ekstrem sehingga melupakan nilai-nilai agama, budaya, tradisi serta semangat saling hormat menghormati antara kaum dan agama.
Di satu pihak lagi, ada juga golongan yang menolak sekeras-kerasnya nilai-nilai baharu ini dan menganggapnya sebagai ancaman besar terhadap kelangsungan tradisi agama dan budaya masing-masing.
Golongan ini juga berpotensi untuk mengambil tindakan yang ekstrem demi mempertahankan nilai dan kepercayaan mereka," katanya dalam perutusan sempena Ulang Tahun UMNO Ke-68, di sini hari ini.
Muhyiddin menambah, UMNO kini mengharungi arus perubahan zaman yang kian mencabar berikutan peralihan generasi yang membawa kepada kemunculan pemikiran dan nilai politik yang baharu.
Soal kebebasan, kesamarataan dan hak asasi manusia telah muncul sebagai fokus utama perdebatan dalam ruang politik di negara kita dan semakin mempengaruhi pemikiran serta sikap rakyat.
Bahkan, pematuhan kepada prinsip yang dibawa oleh nilai-nilai baharu ini menjadi kayu ukur kepada ketepatan sesuatu keputusan dan tindakan politik," katanya.
Namun, Muhyiddin menjelaskan, pada masa yang sama, UMNO tidak seharusnya mudah hilang kompas perjuangan dan sebaliknya parti itu perlu sedar bahawa nilai-nilai baharu tersebut juga mempunyai kecenderungan untuk membawa masyarakat ke arah dua haluan politik yang berbeza.
Menurut beliau, masa depan negara sebenarnya bergantung kepada kebijaksanaan politik UMNO sebagai parti tunjang Barisan Nasional (BN) untuk mengimbangi dan mengekalkan kestabilan, keamanan dan keharmonian negara.
Sehubungan itu, kita tidak boleh terperangkap dalam permainan politik ekstrem perkauman, agama dan hak asasi manusia semata-mata untuk menjadi juara kaum, agama atau kelompok tertentu," ujarnya.
Muhyiddin berkata, tanggungjawab politik UMNO yang paling besar adalah untuk mengekalkan keseimbangan politik yang menjadi asas keamanan, kestabilan dan kemakmuran Malaysia.
Beliau turut menegaskan, kompas perjuangan UMNO adalah asas-asas yang telah dipersetujui di dalam Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Rukun Negara.
"UMNO mesti terus menegakkan kesucian Islam serta membela hak orang Melayu dan bumiputera dengan berpandukan landasan Perlembagaan Persekutuan.
UMNO mesti terus memperjuangkan apa yang hak bagi orang Melayu dan bumiputera serta menegakkan agama Islam di samping menghormati hak bagi kaum dan agama lain," katanya.
Muhyiddin berkata, UMNO juga menghadapi ujian besar untuk menggalas amanah perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara di samping mengekalkan kestabilan, keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia dalam persekitaran politik masa kini yang kian mencabar.
Amanah ini bukan sesuatu yang mudah untuk digendong. Ia menuntut suatu kebijaksanaan baharu dalam kalangan pimpinan dan ahli parti," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment