My Add

Thursday, 8 May 2014

Pertimbang usul naik royalti minyak di Sarawak

KUALA LUMPUR, RABU, 07 Mei, 2014: Kerajaan Pusat wajar memberi pertimbangan serius terhadap permintaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak agar kadar royalti minyak dinaikkan dari lima kepada 20 peratus.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, pertimbangan berkenaan juga seharusnya melibatkan Sabah dan Terengganu bagi membantu negeri-negeri berkenaan melaksanakan agenda pembangunan.

Kata beliau, sudah tiba masanya kadar royalti minyak dikaji semula kerana jumlah lima peratus yang diberikan tidak berubah sejak dahulu.

"Keuntungan minyak meningkat manakala kos pembangunan di Sarawak, Sabah dan Terengganu juga meningkat," katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan persidangan DUN Sarawak semalam yang sebulat suara meluluskan usul meminta Kerajaan Pusat menaikkan kadar royalti minyak daripada lima kepada 20 peratus.

Menurut Ibrahim, Sarawak dan Sabah memerlukan kewangan besar untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur kerana merupakan negeri yang luas.

Katanya, masih banyak yang perlu dilakukan oleh negeri-negeri berkenaan seperti membina lebuh raya, jalan kampung dan meningkatkan sosio-ekonomi penduduknya.

"Kerajaan wajar mempertimbangkan kenaikan kadar royalti minyak seperti usul diluluskan DUN Sarawak, sama ada sebanyak 20 peratus atau peningkatan daripada lima peratus kepada tahap yang difikirkan munasabah dan adil," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment