My Add

Wednesday 28 May 2014

PM rafak takziah kepada kerabat diraja Perak

KUALA LUMPUR, RABU 28 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merafak takziah kepada kerabat diraja Perak atas kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

"Sembah takziah atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah. Al-Fatihah," kata Perdana Menteri dalam entri Facebook beliau di sini Rabu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan kemangkatan Sultan Azlah Shah, 86, secara langsung menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada pukul 3.40 petang tadi.

Baginda mangkat pada pukul 1.30 petang dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.

Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Februari 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.

Berikutan kemangkatan Sultan Perak, Najib yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China, akan pulang ke Malaysia malam ini untuk memberi penghormatan terakhir.

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan pulang sejurus selepas menghadiri satu majlis di Beijing.

Selepas memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar esok, mereka akan kembali ke Beijing untuk menyambung lawatan rasmi enam hari yang bermula semalam sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik dijalin antara Malaysia dan China. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment