My Add

Wednesday 28 May 2014

Projek PIPC boleh diteruskan - Muhyiddin

Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH dan NURUL HUDA HASSAN

* MUHYIDDIN Yassin menunjukkan sesuatu kepada Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke Dewan Undangan Negeri pada Sesi Taklimat Pembangunan Negeri Johor di Kota Iskandar, Nusajaya, Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
NUSAJAYA, SELASA 27 Mei, 2014: Tan Sri Muyhiddin Yassin berkata, pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) boleh diteruskan atas dasar kepentingan awam biar pun ada sebahagian tanahnya terlibat dalam pertikaian di mahkamah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mengikut Akta Tanah Negara, projek seumpama itu tidak boleh disekat dan kerana itu beliau yakin pembangunan PIPC tidak akan terhalang ekoran masalah berkenaan.

"Ikut peraturan tanah, projek berkepentingan awam ini boleh diteruskan. Di peringkat mahkamah masa bicara, ia tidak boleh disekat.

"Jadi, saya rasa ia tidak akan terhalang dengan masalah di situ," katanya ketika diminta mengulas tentang projek tersebut yang dikatakan bakal ditangguhkan berikutan pertikaian tanah antara pemilik tanah dan kerajaan negeri serta Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Taklimat Pembangunan Negeri Johor oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Utusan Malaysia hari ini memetik laporan bahawa Kelana Megah Development Sdn. Bhd. memfailkan saman mendakwa bahawa tujuh bidang tanah miliknya secara haram dipindahkan di bawah pengambilan tanah wajib bagi Loji Penapisan dan Pembangunan Bersepadu Petrokimia (RAPID) yang merupakan sebahagian projek Pengerang.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pertikaian di mah­kamah apabila ada proses pengambilan tanah bagi membangunkan sesebuah projek adalah satu perkara biasa dan pihaknya menyerahkan isu PIPC kepada mahkamah.

"Itu perkara biasa apabila dalam proses pengambilan tanah akan ada pertikaian seperti harga dan sebagainya. Itu kita serahkan kepada mahkamah untuk selesaikan dan kerajaan negeri akan patuh dengan apa jua keputusannya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment