My Add

Sunday, 11 May 2014

Rapatkan barisan, hindari pertelingkahan dalam parti

KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Mei, 2014: Ahli-ahli UMNO diseru merapatkan barisan dan menghindari sebarang pertelingkahan yang boleh membawa kerugian kepada parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, tindakan itu penting demi memastikan UMNO terus kukuh bagi menghadapi cabaran dalam perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

“Kita tidak boleh berhenti. Kita mesti melihat ke hadapan. Ahli-ahli UMNO mesti berpandangan jauh melangkaui sempadan pemikiran.

“UMNO mesti berubah. Contoh­nya, seperti mengubah Perlembagaan parti yang membuatkan UMNO lebih inklusif. Ini merupakan satu transformasi dalam UMNO yang menjadikan parti ini lebih terbuka berbanding parti politik lain di negara ini," katanya seperti dipetik daripada laporan UMNO Online hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan menambah, pucuk pimpinan dan ahli-ahli UMNO juga perlu melihat kelemahan yang wujud di dalam parti serta memperbaikinya dari semasa ke semasa.

Menurut Hishammuddin, sebagai tunjang Barisan Nasional (BN), UMNO mentadbir negara dalam situasi yang menuntut keyakinan dan tekad yang kuat untuk berjaya.

Katanya, sepanjang 68 tahun UMNO ditubuhkan, pelbagai ujian telah dilalui seperti pilihan raya umum yang getir, perhimpunan pembangkang yang cuba menghuru-harakan negara, tragedi Lahad Datu dan yang terbaru, isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

“Alhamdulillah, setakat ini UMNO berjaya melepasi ujian-ujian tersebut serta mampu untuk terus membawa obor perjuangan demi membela agama, bangsa dan negara," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment