My Add

Friday, 2 May 2014

Salah tafsir kenyataan Obama

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Pelbagai pihak telah menyalah tafsir kenyataan Barack Obama berhubung hak kaum minoriti yang dipinggirkan sedangkan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu merujuk kepada keadaan masyarakat Islam di Myanmar.

Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, di Malaysia tidak berlaku perkara itu, malah kumpulan majoriti iaitu kaum bumiputera yang terpinggir sebagaimana yang terjadi di Afrika Selatan.

"(Kenyataan) Obama melihat kepada kumpulan terpinggir, dia kata di Myanmar kumpulan Islam terpinggir, seperti dia melihat kulit hitam terpinggir di Amerika, tetapi kita seperti di Afrika iaitu kumpulan majoriti terpinggir.

"Bermakna apa yang dimaksudkan Obama itu ialah apa yang berlaku di Myanmar. Di Malaysia lebih melihat contoh seperti di Afrika, mungkin pada ketika itu beliau tidak berkesempatan untuk mengatakan bahawa contoh Myanmar dan Malaysia berbeza, ini telah disalah tafsir," katanya dalam rancangan Soal Jawab yang disiarkan di TV3, semalam.

Jamaluddin mengulas tindakan pelbagai pihak yang cuba mempolemikkan kenyataan Obama bahawa orang bukan Islam mesti diberi peluang yang sama dalam usaha negara ini untuk maju.

Jamaluddin berkata, isu hak asasi manusia juga cuba dipolemikkan oleh pihak-pihak tertentu seoalah-olah Malaysia tidak mementingkan soal tersebut sedangkan tidak ada satu akta yang dikatakan menindas hak sedemikian.

Kata beliau, Obama menerima pendirian Malaysia bahawa negara sedang membina kemajuan dan pembaharuan ke arah usaha itu dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menggubal Akta Perhimpunan Aman.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia tidak akan tergesa-gesa untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) supaya memberi situasi menang - menang.

Katanya, mengambil masa yang lama dlam membuat keputusan itu adalah lebih baik demi melihat semua kedudukan secara terperinci sebelum dibentangkan di Parlimen nanti. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment