My Add

Friday, 2 May 2014

Hudud: Jangan pertikai keikhlasan UMNO

 * MUSTAPA Mohamed (kanan) memegang ayam serama selepas merasmikan Pesta Unggas Antarabangsa Kelantan 2014 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU, KHAMIS, 01 Mei, 2014: Semua pihak diminta menghentikan polemik politik mengenai pelaksanaan hukum hudud di negeri ini dan menyerahkannya kepada jawatankuasa teknikal khas peringkat kebangsaan yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekarang bukan lagi masa untuk membuat kenyataan tetapi perlu memasuki peringkat pelaksanaan.

Pada masa sama, beliau meminta semua pihak tidak lagi mempertikai kejujuran UMNO menyokong pelaksanaan undang-undang Islam sebaliknya pihak terbabit mesti meneliti dengan rapi tentang pelaksanaan hukum tersebut jika mahu dilaksana agar tidak menimbulkan isu kelak.

"Cukuplah kita berpolemik kerana kadang-kadang apabila bercakap lebih, ini mungkin ada mengguris hati ataupun tersalah cakap.

"Jika semua pihak bersetuju dengan cadangan penubuhan jawatankuasa teknikal khas itu nanti, terserah kepada jawatankuasa ter­babit untuk memperhalusi pelaksanaan undang-undang itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Unggas Antarabangsa Kelantan 2014 anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia negeri di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, ketegangan dalam kalangan penduduk di negeri itu berhubung pelaksanaan hukum hudud juga semakin reda.

"Sebelum ini kita dapati terdapat ketegangan yang agak serius di kampung-kampung apabila isu hudud dibincang.

"Namun, setelah diberi penjelasan, ‘suhu’ (ketegangan) itu menurun sedikit dan perkembangan ini baik untuk perpaduan umat Islam," jelasnya.

Mengulas mengenai ceramah berhubung hudud yang dianjurkan oleh UMNO, beliau berkata, program terbabit mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang mahu mendapatkan kefahaman mengenai hukum itu.

Katanya, antara 500 dan 1,000 orang menyertai setiap ceramah yang dianjurkan di enam lokasi.

"Ini menunjukkan minat itu ada dan ramai yang mahu mengetahui lebih mendalam mengenai hudud kerana selama ini, mereka hanya tahu secara umum sahaja.

"Majlis penerangan ini mendapat sambutan kerana rakyat ‘ketagih’ untuk mendapatkan maklumat tepat. Jadi, pada Sabtu ini kita adakan forum mengenai hudud di Machang pula," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment