My Add

Saturday, 10 May 2014

Sea-Basing dibawa ke Kabinet
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 Mei, 2014: Cadangan pelaksanaan sistem ‘Sea-Basing’ akan segera dikemukakan kepada mesyuarat Jemaah Menteri bagi membolehkan aset ketenteraan ditempatkan di tengah lautan perairan Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau menyokong penuh cadangan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar itu bagi memudahkan bantuan keselamatan disalurkan dengan lebih cepat.

“Melalui konsep Sea-Basing, bot-bot pemintas ditempatkan di tengah laut bersama platform induk seperti kapal Auxiliary TLDM kepunyaan Malaysia International Shipping Corporation (MISC) iaitu Bunga Mas 5 dan Bunga Mas 6 untuk tugas-tugas memintas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Abdul Aziz mencadangkan sistem itu dilaksanakan di perairan Sabah kerana buat masa ini banyak aset ketenteraan ditempatkan di kawasan kurang strategik.

Menurut Hishammuddin, platform induk yang disediakan dalam sistem itu berkemampuan memberi bantuan pengisian minyak dan air kepada bot-bot pemintas tanpa perlu balik ke pangkalan yang mengambil masa dan kos selain menyediakan platform untuk mengoperasikan helikopter.

“Platform induk ini juga boleh menyediakan tempat penginapan dan sajian bagi 24 krew bot pemintas, menyediakan kemudahan perubatan dan menyediakan pusat operasi di barisan hadapan," katanya.

Jelasnya, dengan menggunakan konsep bersauh, kapal Auxiliary TLDM boleh berada di kawasan operasi untuk tempoh jangka masa yang lama.

“Dengan itu, aset ketenteraan seperti bot pemintas dan alat komunikasi dapat ditempatkan di kawasan lebih strategik, berada dalam kesiapsiagaan tinggi serta berkeupayaan bertindak dalam tempoh masa yang cepat," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, kedua-dua kapal Bunga Mas 5 dan Bunga Mas 6 merupakan aset negara yang digunakan khusus untuk melaksanakan tugas-tugas iringan kapal-kapal MISC semasa melalui perairan Teluk Aden, Laut Merah dan Lautan Hindi.

“Bunga Mas 6 kini ditugaskan ke selatan Lautan Hindi untuk operasi mencari pesawat MH370 manakala Bunga Mas 5 baru sahaja kembali ke pangkalan TLDM Lumut setelah tamat penugasan Op Fajar," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment