My Add

Saturday, 10 May 2014

Semak syarat BR1M swasta

Oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 Mei , 2014: Kerajaan digesa mengemas kini kaedah pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan mengkaji semula syarat kelayakan minimum bantuan untuk pekerja sektor swasta.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya (gambar) berkata, kajian khusus perlu dilakukan kerajaan kerana pekerja swasta tidak menerima bonus dan insentif lain seperti yang diterima penjawat awam.

“Saya mencadangkan supaya syarat kelayakan isi rumah bagi pekerja swasta dinaikkan bagi membolehkan golongan tersebut berpeluang menerima bantuan kerajaan.

“Sebagai contoh, gaji pekerja swasta di ibu kota di sekitar RM3,000 masih dianggap rendah dan hanya mencukupi bagi menampung perbelanjaan harian mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md. Akin meminta Kementerian Kewangan membentangkan kajian penilaian risiko di Dewan Rakyat berhubung kaedah pengagihan wang BR1M bagi memastikan bantuan itu tidak diseleweng atau tersalah bayar.

Langkah itu katanya, sebagai bukti tiada penipuan berlaku dalam bantuan berjumlah berbilion ringgit itu.

Mengulas cadangan Shamsul Iskandar itu, Saharuddin berkata, penyelewengan wang BR1M tidak berlaku kerana kerajaan sentiasa berusaha memperbaiki sistem ber­kenaan dan meningkatkan sistem pengurusan bantuan dari semasa ke semasa.

“Langkah pembayaran melalui pemindahan ke dalam akaun bank penerima merupakan penambahbaikan yang dilakukan kerajaan bagi memastikan bantuan itu sampai kepada golongan sasar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Anti Penyelewengan Ne­geri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, tiada unsur penipuan dalam pengagihan BR1M dikesan di peringkat kerajaan namun mengakui ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengambil peluang.

“Kerajaan telah berusaha sebaik mungkin dalam memastikan bantuan sampai kepada penerima namun ada pihak yang cuba memanipulasikan keadaan.

“Sebagai contoh, terdapat se­ge­lintir rakyat yang tidak layak menerima bantuan BR1M tetapi melakukan penipuan berhubung pemberian butiran peribadi demi kepentingan diri sendiri," katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan serius dalam membendung masalah itu bagi mengelakkan kejadian sama daripa­da terus berlaku. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment