My Add

Saturday, 10 May 2014

Segera kekang aktiviti RBA

Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 Mei, 2014: Pihak berkuasa perlu bertindak segera mengekang aktiviti tentera siber propembangkang, Red Bean Army (RBA) bagi mengelakkan pe­­nga­ruh kumpulan itu menular secara serius dalam kalangan masyarakat sehingga sukar dibendung.

Presiden Majlis Kelab Belia India Malaysia (MIYC), Reghu Devan Lopez berkata, langkah itu perlu diambil secepat mungkin bagi mengelakkan rakyat termakan hasutan mereka sekali gus menjejaskan keharmonian negara.

“Perbuatan mereka dilihat amat serius kerana dalam jangka masa panjang boleh menggugat keama­nan dan keselamatan negara.

“Sehubungan itu, saya menggesa pihak berkuasa menyiasat RBA de­ngan segera bagi mengelakkan pengaruh golongan ini menular secara mendadak dan menjadi barah dalam masyarakat," katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai RBA yang berterusan memburukkan kerajaan di laman sosial termasuk membuat pelbagai spekulasi terhadap usaha pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Dalam pada itu, Reghu Devan berkata, pihak berkuasa perlu mendapatkan bukti tepat supaya RBA boleh didakwa dan dipastikan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Beliau juga menggesa rakyat berwaspada dan bijak menganalisis setiap isu yang digembar-gemburkan oleh RBA supaya tidak terpengaruh dengan tohmahan politik mereka.

“Selain itu, saya juga mencadangkan kerajaan mengadakan forum mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat. Walaupun penerangan mengenai GST telah diuar-uarkan beberapa kali dalam media massa, diakui masih ramai yang tidak memahami sistem berkenaan.

“Oleh itu, langkah ini dapat me­ningkatkan kefahaman rakyat berhubung GST dan tidak diputar belit oleh pihak ter­tentu," katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM), Low Eng Tack menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat kesahihan pemilik akaun Facebook kumpulan tentera siber propembangkang.

"Siasatan perlu dilakukan segera untuk pastikan sama ada pemilik akaun Facebook tersebut adalah benar supaya tindakan undang-undang boleh diambil dengan segera berdasarkan bukti kukuh.

“Selain itu, saya juga berasa amat kesal dengan perbuatan RBA yang mengancam perpaduan rakyat berbilang kaum. Mereka sepatutnya membantu kerajaan membangunkan negara bukannya memburukkan imej Malaysia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment