My Add

Wednesday, 28 May 2014

Siew Keong kesal taktik kotor pembangkang

 * MAH Siew Keong meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak selepas meninjau proses pembuangan undi awal oleh anggota polis di bangunan tersebut bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, Perak, semalam. - Utusan/Zulkarnain Mohd. Saidin
TELUK INTAN, SELASA 27 Mei, 2014: Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong kesal dengan taktik kotor pihak tertentu yang menyimbah cat hitam selain menconteng tulisan 'B untuk bodoh' pada poster kempennya.

Siew Keong mendakwa, selain serangan di laman sosial Facebook, terdapat pihak tertentu yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu dengan meminta pengundi hadir ke pejabatnya bagi mendapatkan wang RM200 semalam.

"Sudah 20 tahun saya berada di Teluk Intan dan telah banyak kali bertanding sebelum ini, namun tidak pernah terjadi insiden seperti ini.

"Kita ada emosi dan penyokong kita juga sangat marah. Perkara ini bukan budaya yang kita amalkan di Teluk Intan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat pengundian awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam setiap kempen ceramahnya menguar-uarkan bahawa calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud memiliki 3B iaitu beauty (kecantikan), brain (kepintaran) dan bravery (keberanian) berbanding Siew Keong yang didakwa tidak memiliki apa-apa.

Dalam pada itu, Siew Keong berkata, beliau telah menegah semua penyokong BN daripada membalas perbuatan itu.

"Perkara itu merupakan satu tindakan yang tidak baik. Ada beberapa hari lagi menjelang pengundian dan kita tidak mahu suasana persekitaran yang tegang. Pilihan raya ini adalah satu proses demokrasi. Kenapa mahu buat seperti ini.

"Jika DAP begitu yakin dengan polisi yang mereka ada, parti tersebut tidak sepatutnya menjalankan kempen yang memburukkan parti lawan," katanya.

Tambah beliau, manifesto yang dilancarkannya semalam turut dikritik pembangkang dalam sidang akhbar sedangkan mereka tidak mempunyai sebarang agenda pembangunan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment