Stigma masyarakat punca HIV/AIDS meningkat
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Stigma dan diskriminasi masyarakat yang berterusan terhadap golongan berisiko menghidap HIV/AIDS menjadi satu daripada faktor kepada penularan virus maut itu terus meningkat.
Hal ini kerana penolakan masyarakat untuk menerima goongan bekas penagih dadah atau pekerja seks dalam aktiviti komuniti menyebabkan mereka berasa dipinggirkan, sekali gus menjadi pendorong untuk meneruskan kegiatan lama yang boleh membawa kepada jangkitan HIV/AIDS.
Menurut Presiden Persatuan Pengasih (Pengasih), Datuk Mohd. Yunus Pathi (gambar), penerimaan masyarakat terhadap golongan penghidap HIV/AIDS masih di tahap terlalu rendah.
Katanya, hal itu kerana masih ramai yang tidak memahami apa itu HIV/AIDS, bagaimana penularannya dan apakah puncanya.
"Sebagai contoh, kebanyakan syarikat tidak akan mengambil mana-mana individu yang pernah terlibat dengan dadah atas alasan tidak mampu melakukan tugas dengan baik atau takut jika masalah ketagihan berulang tanpa memberi peluang seadanya.
"Apabila hal itu berlaku, sudah pasti golongan tersebut berasa kurang yakin untuk meneruskan kehidupan lalu mengambil jalan mudah dengan kembali ke dunia gelap mereka dan berdepan dengan risiko dijangkiti HIV," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Mohd. Yunus mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya semalam mengenai kadar penghidap HIV/AIDS dalam golongan muda berusia antara 20 hingga 30 tahun amat membimbangkan kerana mencecah sehingga 78.8 peratus.
Daripada jumlah itu, penghidap penyakit berkenaan dalam kalangan lelaki adalah lebih enam kali ganda berbanding wanita.
Selain itu, Mohd. Yunus mengakui bahawa kempen pencegahan HIV/AIDS yang dijalankan kurang efektif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit berbahaya itu.
Beliau berkata, hal tersebut mungkin disebabkan oleh sikap sambil lewa dalam kalangan masyarakat hari ini.
"Masyarakat kini beranggapan bahawa mereka tidak perlu faham apa itu HIV/AIDS jika tidak menghidapinya, selain berasa golongan yang dijangkiti virus itu tidak perlu diberi sokongan atau bantuan kerana berasa ia adalah balasan atas perbuatan tidak bermoral yang dilakukan.
"Namun, kita kena faham bahawa tidak semua yang dijangkiti HIV berpunca daripada perbuatan tersebut, malah ada banyak cara bagaimana penyakit itu boleh dijangkiti," ujarnya - UTUSAN
No comments:
Post a Comment