My Add

Friday, 9 May 2014

PR1MA meterai MoU dengan PKNP

BAGAN SERAI, KHAMIS, 08 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Dalam majlis itu, PR1MA diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias manakala PKNP pula oleh Ketua Eksekutif­nya, Datuk Aminuddin Md. Desa.

Abdul Mutalib berkata, memorandum berkenaan bertujuan memulakan kerjasama kedua-dua agensi itu secara rasmi memandangkan projek perumahan PR1MA adalah sejajar dengan keperluan di negeri ini.

Katanya, setakat ini, PR1MA meluluskan lima projek pembangunan di Perak iaitu di Slim River, Pengkalan Alor, Kampung Paloh, Sungai Pari dan Bandar Meru Raya.

"Sebanyak 3,220 buah rumah akan dibina menerusi lima projek berkenaan yang terletak di kawasan berhampiran dengan kemudahan awam dan infrastruktur lain.

"Selain itu, kami juga merancang untuk membina padang rekreasi, surau serta dewan komuniti di sekitar kawasan projek berkenaan sebagai usaha menyediakan persekitaran hidup yang holistik dan komprehensif kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoU antara PR1MA dengan PKNP di Bukit Merah Laketown Resort dekat sini.

Majlis menandatangani memorandum berkenaan disempurnakan selepas sesi taklimat status pelaksanaan aku janji dan projek ke­utamaan negeri ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Jamaludin Jarjis dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Terdahulu, Perdana Menteri yang tiba di sini kira-kira pukul 12 tengah hari diberi taklimat secara tertutup oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengenai projek-projek pembangunan di negeri ini.

Dalam taklimat yang turut dihadiri oleh barisan Exco kerajaan negeri itu, UPEN memohon supaya cadangan 41 projek bernilai RM4.5 bilion yang telah diberi aku janji oleh Kerajaan Pusat dilaksanakan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment