Syarat baharu kem PLKN membebankan pengusaha
KUALA LUMPUR, RABU, 07 Mei, 2014: Kerajaan diminta meneliti dengan serius syarat pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang perlu ditanggung sepenuhnya oleh pengusaha kem Program Latihan khidmat Negara (PLKN) yang didakwa sebagai terlalu mahal.
Menurut salah seorang Pengusaha Kem PLKN Paya Indah Kampung Tanjung, Kedah, Nurul Akmal Zainol, peraturan baharu itu bukan sahaja menyusahkan dan membebankan pengusaha kem malah tidak munasabah kerana mereka terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi setiap kali kerja-kerja membaiki kerosakan.
Katanya, berdasarkan peraturan berkenaan, kem-kem PLKN perlu memasang 16 buah CCTV yang dianggarkan bernilai kira-kira RM15,000 termasuk pemasangan wayar.
"Pemilihan CCTV bukannya perkara mudah. Kita perlu juga melihat jenis kamera sama ada sesuai digunakan di dalam atau luar bangunan. Semestinya kamera yang akan dipasang di luar bangunan perlu menggunakan jenis kamera kalis air yang sekali gus membawa maksud penambahan kos.
"Kami memahami keprihatinan kerajaan dalam memastikan keselamatan pelatih diberi keutamaan namun dalam masa yang sama kos yang perlu ditanggung oleh pengusaha agak membebankan lebih-lebih lagi apabila hampir keseluruhan kem perlu dinaik taraf," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi AWang Kechil berhubung syarat dalam jadual pematuhan 2014 bagi menaiktaraf kem latihan PLKN di seluruh negara.
Antara syarat tersebut adalah memasang CCTV selain menaiktaraf beberapa kemudahan termasuk dewan makanan, bilik kediaman, padang kawad dan enam kemudahan sukan.
Sementara itu, Nurul Akmal berkata, pada ketika ini kem di bawah pengurusannya dan adik-beradik memiliki beberapa buah CCTV yang digunakan bagi tujuan memantau prasarana dan pekerja yang diletakkan di pejabat namun perlu ditambah bilangan kamera di bilik rehat pelatih serta lorong-lorong utama. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment