My Add

Sunday, 11 May 2014

Terlantar 12 tahun akibat sakit misteri

 * DR. Mohd. Isa Ismail (dua dari kiri) melihat keadaan Parida Johari (kiri) yang terlantar sakit sejak 12 tahun lalu di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas, Pontian, Johor, semalam.
PONTIAN, SABTU, 10 Mei, 2014: Seorang wanita dari Kampung Paya Embun, Pekan Nanas di sini yang terlantar sakit selama 12 tahun memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak bagi menampung kos rawatan serta per­belanjaan hariannya.

Parida Johari, 34, kini terpaksa bergantung kepada alat pernafasan untuk meneruskan kehidupan dan kesihatannya yang semakin merosot walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi merawatnya penyakit misteri yang dihidapinya.

Menurut kakaknya, Siti Roha Johari, 46, yang menjaga adiknya, dia memerlukan kira-kira RM250 sebulan bagi membiayai kos peralatan pernafasan serta perbelanjaan lain dan bantuan RM150 sebulan daripada Baitulmal tidak mencukupi.

“Saya hanya mengambil upah menjahit, sementara suami beker­ja kampung. Pada awalnya kami sekeluarga menyangka dia hanya demam sahaja, mungkin keletihan disebabkan pekerjaan, namun keadaannya semakin teruk sebelum dirujuk ke Hospital Pontian dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

"Kini Parida bergantung penuh kepada bekalan oksigen setelah hampir empat tahun tidak mendapatkan rawatan di hospital disebabkan kesukaran untuk membawanya. Ini disebabkan Parida tidak mampu bergerak dan anggota badannya akan sakit apabila disentuh," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Keadaan Parida mendapat perhatian Pengerusi Biro Pembangunan dan Sosial UMNO Bahagian Tanjung Piai, Dr. Mohd. Isa Ismail yang datang melawatnya bersama Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai, Zarina Mohd. Bain; Ketua Pergerakan Puteri UMNO bahagian, Rahiman Ithnin dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian, Mohd. Afandi Jamian.

Sebanyak 20 rumah di Kampung Melayu Raya, Kampung Sri Gambut dan Paya Embun dilawati sempena Program Membela Raya (Membara) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Parlimen Tanjung Piai.

Sementara itu, Mohd Isa memberitahu, pihaknya akan memberi bantuan yang diperlukan seperti pemeriksaan kesihatan supaya Parida dapat meneruskan rawatan yang tertangguh dan berharap dia tabah serta menguatkan semangat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment