My Add

Thursday, 8 May 2014

Tingkat kawalan keselamatan

Oleh Luqman Haziq Abdullah

 * MUHYIDDIN Yassin dan Menteri Perhubungan Ekonomi Luar, Pelaburan dan Perdagangan Uzbekistan, Elyor Ganiev (dua dari kiri) semasa Mesyuarat Meja Bulat dengan peneraju industri Malaysia dan Uzbekistan di International Hotel, Tashkent, Uzbekistan, semalam. Mesyuarat itu dipengerusikan Muhyiddin pada hari terakhir lawatan rasmi empat hari beliau ke negara itu. - BERNAMA
TASHKENT, RABU, 07 Mei, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kekecewaannya terhadap insiden penculikan terbaharu dan mengarahkan pasukan keselamatan meningkatkan kawalan serta aset di kawasan pantai timur Sabah dengan segera.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri Sabah juga telah mengeluarkan beberapa arahan untuk mengekang kejadian serupa berulang.

"Memang saya rasa agak kecewa, kita telah sebut (tingkatkan tahap keselamatan) setelah berlaku beberapa isu sebelum ini termasuk kita tubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) tapi nampaknya masih belum berupaya mengekang kejadian itu.

"Kita juga sudah bincangkan dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya diambil tindakan segera dan memperkukuhkan kawalan di sepanjang lebih 1,400 kilometer pantai sempadan Sabah," katanya ketika diminta mengulas insiden penculikan terbaharu melibatkan seorang warga China awal pagi kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri ditemui media Malaysia selepas menghadiri Mesyuarat Meja Bulat dengan peneraju industri Malaysia dan Uzbekistan di International Hotel, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.45 pagi itu, Yang Zai Lin, 34, seorang pengusaha ikan dalam sangkar diculik lima lelaki bertopeng dan berbaju celoreng bersenjata api dipercayai M-16.

Kejadian terbaru itu kira-kira sebulan selepas seorang pelancong China, Gao Hua Yuan, 29, dan seorang pekerja Resort Singamata, Marcy Dayawan, 40, diculik di Semporna pada 2 April lalu.

Muhyiddin seterusnya mengarahkan supaya tindakan segera diambil dengan meningkatkan aset termasuk menggunakan sistem radar bagi memantau pergerakan di kawasan berkenaan.

"Lebih segera ambil tindakan lebih baik dan supaya tidak ada pihak menempelak serta kerajaan negeri juga mahu langkah segera dilakukan.

"Kita akui kawasan tersebut terletak berhampiran Filipina khususnya pulau-pulau di selatan negara itu namun perkara itu bukan alasan untuk tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang kejadian serupa berulang," katanya.

Ekoran kejadian terbaharu itu, kerajaan negeri memaklumkan perintah berkurung bakal dilaksanakan di beberapa kawasan berisiko tinggi di perairan Esszone bagi mengehadkan pergerakan keluar masuk manakala setiap urusan perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment