Zahid bidas pembangkang isu hak asasi manusia
LARUT, JUMAAT, 09 Mei, 2014: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menempelak ahli politik yang berlatarbelakangkan undang-undang serta memperjuangkan hak asasi manusia untuk penjenayah sehingga tidak menghiraukan hak asasi golongan anggota polis.
Zahid turut mempersoalkan di mana letaknya hak asasi anggota polis dalam kalangan ahli politik terbabit yang dilihat lantang memperjuangkan hak asasi penjenayah di Dewan Rakyat dan juga di pentas-pentas politik lain.
Di manakah hak asasi polis serta ahli keluarganya yang terbunuh ketika melaksanakan tugas membanteras jenayah? Polis juga rakyat Malaysia.
Mereka (ahli politik) juga adalah rakyat Malaysia dan sewajarnya memperjuangkan hak asasi kemanusiaan dalam kalangan anggota polis," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, dekat sini hari ini.
Majlis perasmian IPD berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat ke majlis perasmian itu.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.
Dalam pada itu, Mohd. Bakri di dalam ucapan beliau menekankan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu pada era globalisasi ketika ini terutamanya perkembangan teknologi maklumat.
Beliau memberitahu, cabaran itu secara tidak langsung menyebabkan PDRM terjebak ke dalam krisis keyakinan akibat dilanda persepsi negatif masyarakat.
Cabaran tersebut perlu ditangani dengan segera demi menentukan PDRM terus relevan. Usaha-usaha perlu terus dilaksanakan dalam pengurusan persepsi demi menjernihkan imej polis di mata masyarakat.
Usaha menangani krisis keyakinan dan persepsi negatif ini hanya akan berhasil dengan adanya lonjakan dalam prestasi PDRM. Bukan setakat itu, PDRM perlu mendekati masyarakat dalam satu gerakan memenangi hati serta sokongan mereka untuk memerangi jenayah dan ancaman keselamatan yang lain," jelas beliau. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment