TELOK KEMANG: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada dalam kedudukan serba salah dalam isu hukum Hudud sama ada mahu menyebelahi Pas yang mahu melaksanakan undang-undang itu atau DAP yang menentangnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, ini kerana, beliau mahu mendapatkan sokongan ahli-ahli Pas tetapi tersepit kerana Pengerusi DAP, Karpal Singh adalah peguam bela dalam kes liwat beliau.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan itu berkata, oleh kerana itu, rakyat boleh melihat pakatan pembangkang tidak membuat pendirian yang jelas mengenai isu itu selepas mereka mengadakan mesyuarat malam kelmarin.
“Anwar serba salah kerana dia mahukan sokongan Pas tetapi pada masa yang sama peguam belanya adalah Karpal Singh. Sebab itu jawapan yang diberikannya banyak dolak-dalik,” katanya kepada para pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Galeri Sejarah Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad di sini, semalam.
Menurutnya, pakatan pembangkang akan terus mencipta pelbagai isu dan membangkitkan dakwaan dengan harapan rakyat akan menyokong mereka.
Umpamanya di peringkat negeri ini, katanya, mereka mendakwa akan dapat menawan Negeri Sembilan dengan mudah pada pilihan raya umum akan datang.
“Dakwaan ini hanya untuk menyenang hati penyokong mereka saja dan berharap mereka tidak akan hilang keyakinan dan berubah pendirian,” katanya. - Utusan
No comments:
Post a Comment