My Add

Saturday 15 October 2011

4 juta penguat kuasa digerak

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

Utusan Malaysia
JUMAAT, 14 Oktober, 2011; Lebih empat juta anggota penguat kuasa akan digerakkan secara bersepadu di seluruh negara apabila operasi besar-besaran dilaksanakan terhadap majikan serta pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingkar terhadap Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P).

Operasi membabitkan lokasi di darat, laut, dan sempadan darat itu bakal diketuai Jabatan Imigresen dan disokong hampir tiga juta anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela), 125,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 110,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat agensi penguat kuasa pelaksanaan program 6P anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN), kelmarin.

“Mesyuarat turut membincangkan pendekatan serta kaedah penguatkuasaan yang akan digunakan ketika arahan operasi dikeluarkan sebaik sahaja tarikhnya diputuskan oleh kerajaan.

“Ia selaras dengan pelaksanaan fasa kedua Program 6P iaitu Proses Pemutihan yang bermula sejak Isnin lalu,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, semalam.

Menurutnya, mesyuarat turut dihadiri wakil Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Majlis Keselamatan Negara (MKN); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia); Unit Pencegah Penyeludupan (UPP); Jabatan Tenaga Kerja (JTK); Jabatan Depot; ATM; PDRM; Jabatan Imigresen dan Rela.

Selain kementerian-kementerian berkenaan, agensi lain yang turut akan bertindak sebagai sokongan pada program tersebut adalah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM); Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Bagi lokasi darat, operasinya akan membabitkan PDRM, Rela, ATM, JTK, Jabatan Depot, PBT, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, JPAM, AADK dan JKKK.

Operasi di laut pula diletakkan di bawah tanggungjawab JKDM, TLDM, Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan sementara di sempadan darat pula akan membabitkan MKN, PDRM, Jabatan Imigresen, UPP, JKDM, JTK, Rela, Jabatan Depot serta Polis Sempadan di bawah KDN.

“Bagaimanapun, operasi penguatkuasaan ini hanya akan dilaksanakan oleh agensi yang mempunyai kuasa di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, ATIP (Pindaan) 2010 manakala agensi yang tidak tertakluk di bawah akta tersebut hanya boleh menjalankan operasi penguatkuasaan dengan disertai anggota Jabatan Imigresen sebagai peneraju,” katanya.

Sebagai agensi peneraju, Jabatan Imigresen bertanggungjawab merancang dan menyediakan pelan strategik operasi penguatkuasaan, menyelaras tindakan di peringkat negeri dan melaporkan statistik harian penguatkuasaan kepada Jawatankuasa Pelaksana Program 6P di KDN.

Berdasarkan prosedur operasi kerja yang dicadangkan KDN, majikan serta PATI yang tidak berdaftar dengan Program 6P akan diberi satu tempoh khusus bagi tampil menyerah diri di mana-mana pejabat Jabatan Imigresen seluruh negara.

“Tindakan menyerah diri ini akan mengecualikan mereka daripada hukuman undang-undang, tetapi pada masa yang sama majikan dan PATI terikat dengan peraturan untuk menghantar pulang PATI ke negara asal mereka dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan,” tegas beliau.

Menurutnya, kerajaan akan mengumumkan tarikh akhir bagi proses menyerah diri dan selepas tamat tempoh tersebut, operasi besar-besaran akan dilaksanakan bagi menahan majikan serta PATI yang ingkar terhadap pelaksanaan Program 6P iaitu mendaftar bagi tujuan rekod biometrik atau menyerah diri selepas gagal melaksanakan pendaftaran.

No comments:

Post a Comment