My Add

Monday 10 October 2011

Bahaya janji kosong parti pembangkang - Sabri Cheek

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
Utusan Malaysia

ISNIN, 10 Oktober, 2011: Belanjawan bayangan yang dikemukakan pakatan pembangkang boleh diibaratkan seperti meriam buluh yang mengeluarkan dentuman kuat dan membahayakan orang ramai.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini kerana belanjawan itu hanya gah didengar, namun hakikatnya ia tidak merangkumi faedah menyeluruh untuk pelbagai lapisan masyarakat berbanding Bajet 2012 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lalu.

“Dentuman kuat tapi kosong dan mungkin membahayakan mereka yang berada di sekitarnya. Ini kerana belanjawan mereka tidak memperincikan faedah dan program kepada golongan belia dan atlet di negara ini. Mungkin mereka fikir golongan belia dan atlet tidak penting kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melepaskan lebih 500 peserta acara larian amal di  .

Menurut Ahmad Shabery, apa yang dikatakan oleh pembangkang tidak lebih sekadar episod baru janji kosong mereka seperti peristiwa 16 September 2008 iaitu untuk mengambil alih kerajaan.

“Saya masih ingat lagi pada masa itu mereka begitu yakin untuk mengambil alih pemerintahan negara apabila mendakwa ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyertai mereka.

“Ternyata ia hanyalah dusta dan saya minta rakyat sekali lagi jangan tertipu dengan taktik mereka,” katanya.

Mengenai tambahan RM30 juta yang diterima kementerian itu untuk program mengasah bakat muda, beliau berkata, ia tidak akan digunakan untuk menampung perbelanjaan Program Road To London walaupun Sukan Olimpik tahun depan merupakan temasya penting kepada negara.

“Bajet untuk Program Road To London sudah ada dan telah dibincangkan dengan Perdana Menteri sebelum ini. “Apa yang penting sekarang, kerajaan mahu melihat lebih ramai atlet melayakkan diri ke temasya berkenaan dan mereka yang tersenarai berusahalah bersungguh- sungguh kerana ada peruntukan untuk itu,” katanya.


Bajet 2012 kejayaan untuk wanita 

Di KANGAR, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan, Bajet 2012 merupakan kejayaan untuk golongan wanita di negara ini yang telah memperjuangkan isu-isu wanita ke peringkat tertinggi.

Menurut beliau, tidak pernah berlaku dalam sejarah di negara ini kepentingan wanita terutama dari segi ekonomi dan kesihatan diberi fokus utama dalam bajet negara.

"Bagi saya golongan wanita di negara ini telah berjaya mengarusperdanakan isu-isu seperti pembangunan dan keupayaan wanita dalam negara sekali gus membuktikan bahawa golongan wanita adalah tulang belakang dalam isu pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan program Kembara Nur di Kuala Perlis, dekat Kangar yang turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Pelancongan, Kesihatan, Kerjasama Sempadan dan Pembangunan, Ahmad Bakri Ali dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perlis, Rela Ahmad, semalam.  .

Pada Bajet 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi suntikan imunisasi barah pangkal rahim, hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak bernilai RM700 juta dan pembangunan usahawan wanita melalui peruntukan mikro kredit bernilai RM2.1 billion.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, pengumuman bajet itu juga membuktikan banyak permohonan kementeriannya terhadap kumpulan sasar telah diberi perhatian.

"Sekarang adalah masa untuk kementerian mengolah secara terperinci kerjasama dengan agensi- agensi berkaitan, contohnya dalam bidang kesihatan, kita perlu menyediakan modul yang baik dengan kerjasama pakar perubatan.

"Di segi ekonomi kita akan bantu meningkatkan bidang keusahawanan wanita melalui kerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)," katanya.

Mengulas mengenai Bajet 2012 yang dikatakan pihak pembangkang menyerupai Buku Jingga mereka, Shahrizat menegaskan, perkara tersebut hanyalah 'gimik' pihak pembangkang.

"Ini semua gimik kebajikan pihak pembangkang, mereka kata bagi peruntukan RM100 untuk golongan warga emas tetapi itu hanya sekali dalam setahun, maknanya RM8 sebulan, sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) beri RM500 setiap bulan kepada golongan warga emas dan wanita yang menjadi ketua isi rumah," katanya.

Bajet 2012: Program penjelasan diperhebat

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed
berkata, program penerangan akan diperhebat bagi menjelaskan kepada rakyat Kelantan tentang faedah dan manfaat yang mereka perolehi melalui Bajet 2012.  

Menurut beliau, kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan rakyat negeri itu kerana banyak faedah dan perkara yang boleh meringankan beban mereka disediakan oleh kerajaan melalui bajet tersebut tetapi mungkin tidak difahami secara jelas oleh mereka.

Mustapa berkata, antara faedah itu adalah peruntukan sebanyak RM500 bagi isi rumah pendapatan kurang RM3,000, pemansuhan yuran sekolah, bantuan persekolahan sebanyak RM100, manakala bagi pegawai kerajaan pula pemberian pelbagai jenis elaun, kenaikan gaji dan bonus.

“Jadi, kita minta Kementerian Kewangan hantar pegawai ke Kelantan untuk beri penerangan tentang faedah kepada rakyat termasuk rakyat Kelantan. Kita tak mahu rakyat Kelantan merasakan mereka terpinggir,” katanya.  

Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) di Jabatan Pembangunan Persekutuan di Kota Bharu. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Makhtar Mustapha.

Mustapa yang juga Pengerusi MTPNK berkata, majlis penerangan akan diadakan dalam waktu terdekat khusus untuk kakitangan kerajaan, orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak lain yang bakal dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

No comments:

Post a Comment