My Add

Saturday 8 October 2011

Bajet terbaik dalam sejarah - Muhyiddin Yasin

Oleh Raja Syahrir Abu Bakar 

SABTU, 08 Oktober, 2011:Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2012 yang dibentangkan kerajaan hari ini sebagai belanjawan terbaik dalam sejarah negara kerana ia menyentuh kehidupan segenap lapisan masyarakat dan berupaya mengimbangkan antara kadar pertumbuhan dengan defisit negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran turut bersyukur dengan bajet tersebut kerana ia menambah baik skim gaji dan kenaikan pangkat buat 480,000 guru di seluruh negara yang mewakili kira-kira satu per tiga daripada para pekerja sektor awam.

Katanya, bajet yang mengambil kira sektor pendidikan itu amat menyokong pertumbuhan modal insan dalam negara apabila ia meliputi penambahbaikan infrastruktur di sekolah-sekolah meliputi peruntukan melebihi ratusan juta ringgit.

"Pastinya dalam situasi ekonomi yang kita hadapi, tidak mudah untuk kerajaan mengemukakan belanjawan yang seimbang, tetapi dalam pembentangan ini Perdana Menteri berjaya melakukannya.

"Dalam keadaan sama, kita masih dapat meneruskan pertumbuhan sasaran sebanyak 5.5 peratus tahun depan dan mengurangkan defisit kepada 4.7 peratus tahun depan," katanya pada sidang akhbar selepas pembentangan Bajet 2012 di Parlimen semalam.

Sementara itu, katanya, para penjawat awam terutama golongan pendidik diharap berpuas hati serta lebih bersemangat menjalankan tanggungjawab mereka berikutan insentif tersebut seperti laluan kerjaya lebih jelas serta peluang kenaikan gaji.

"Umpamanya, tangga gred golongan guru kini boleh meningkat dalam tempoh lapan tahun berbanding 10 hingga 15 tahun selama ini.

"Terdapat peningkatan yang jauh lebih baik bukan sahaja sektor pendidikan tetapi sektor lain dan diharapkan pegawai-pegawai dalam perkhidmatan awam akan berpuas hati ditambah dengan bonus sekali lagi iaitu minimum RM500," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengingatkan kesemua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara supaya mendapatkan kebenaran Jabatan Pelajaran Negeri terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu program yang melibatkan pembayaran oleh murid serta ibu bapa.

Katanya, ini kerana kerajaan tidak mahu pembayaran seperti yuran tuisyen tambahan yang dianjurkan PIBG membebankan murid serta ibu bapa apabila kerajaan telah memberikan yuran persekolahan percuma kepada mereka melibatkan peruntukan dan subsidi RM150 juta.

Beliau memberitahu, usaha itu memberi kelegaan kepada 5.6 juta pelajar di sekolah rendah dan menengah seterusnya mengurangkan beban keluarga mereka.

Mengenai ketiadaan cukai tambahan ke atas barangan seperti alkohol dan produk berasaskan tembakau dalam bajet kali ini, katanya, kerajaan mendapati pendapatan sedia ada mencukupi dan kadang-kala kerajaan perlu berbelanja lebih dalam menguruskan aktiviti penyeludupan akibat harga barangan berkenaan yang terlalu tinggi. - Utusan

No comments:

Post a Comment