My Add

Thursday 20 October 2011

BN negeri jemput Soi Lek bertanding di N. Sembilan


Utusan Malaysia
KHAMIS, 20 Oktober, 2011: Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menjemput Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek untuk bertanding di mana-mana kawasan parlimen di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Mohamad berkata, tawaran itu dibuat kepada Soi Lek memandangkan beliau dilihat sebagai berpengalaman dan menjadi calon yang boleh menang di kerusi-kerusi parlimen yang secara tradisi ditandingi oleh parti berkenaan.

Malah katanya, jika Soi Lek bertanding di negeri ini, ia bukan sahaja dapat memberikan impak positif kepada parti malahan ia juga dilihat mampu meningkatkan sokongan masyarakat Cina kepada BN di negeri ini.

''Kita jangan hanya fikir calon tempatan, kadang-kadang kita boleh import juga. Kalau dahulu bekas Presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon boleh menumbangkan Dr. Chan Man Hin daripada DAP, mengapa kita tidak boleh mengulanginya semula?

''Apa yang saya lihat beliau adalah calon yang sesuai untuk menang di kerusi -kerusi parlimen yang ditandingi secara tradisi oleh MCA apatah lagi tempat lama beliau iaitu Parlimen Labis sudah diisi oleh anaknya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di Seremban, semalam.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya pada konvensyen BN negeri Ahad lalu, kesediaan BN negeri bagi memberi peluang kepada Presiden MCA itu bertanding di negeri ini pada konvensyen BN negeri Ahad lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, jika Soi Lek bertanding di kawasan parlimen di negeri ini, ia juga dilihat mampu memberikan impak besar kepada beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain dalam meraih majoriti undi.

''Presiden MCA boleh dikatakan sebagai 'heavyweight' dan orang yang dilihat sebagai ketua kepada masyarakat Cina di negara ini.

''Pada hemat saya, beliau adalah calon yang terbaik untuk bertanding di kerusi-kerusi tradisi MCA sekali gus ia akan meningkatkan sokongan moral masyarakat Cina untuk menyokong BN pada pilihan raya akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment