My Add

Wednesday 5 October 2011

Konvensyen perjelas isu komunis, elak kekeliruan


RAIS Yatim (kiri) menyampaikan buku Coretan Kenangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kepada bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
                                                       Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN

KUALA LUMPUR: Ahli akademik dan tokoh sejarah diminta duduk semeja untuk membincangkan sejarah negara terutama bagi menjelaskan isu komunis yang baru-baru ini diangkat sebagai wira oleh pemimpin pembangkang.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penganjuran sebuah konvensyen bagi tujuan itu amat dialu-alukan dan tepat pada masanya bagi mengelak kekeliruan yang timbul.

Katanya, kementerian bersedia menjadi penganjur asalkan ahli akademik dan sejarawan negara sedia bekerjasama memastikan konvensyen tersebut dilaksanakan.

"Dengan penganjuran konvensyen yang bersesuaian temanya, ia akan menjadi medan untuk menyalurkan maklumat yang tepat kepada umum.

"Kecelaruan fakta sejarah yang ditimbulkan oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu diakui boleh mengganggu-gugat keamanan negara, sekali gus mampu merubah sejarah negara," katanya pada majlis pelancaran buku Coretan Kenangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay di sini, hari ini.

Beliau juga menyarankan Mat Sabu membaca buku terbitan Jabatan Penerangan Malaysia itu supaya dia lebih faham mengenai sejarah negara.

Buku tersebut adalah terjemahan daripada buku 'Looking Back' yang mengandungi 53 artikel yang pernah tersiar dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris dari 16 Disember 1974 hingga 16 Ogos 1976.

Pada majlis tersebut juga, Rais turut merasmikan wajah baru portal Pusat Maklumat Rakyat (PMR) yang kini dikenali sebagai portal 1Klik. - Utusan

No comments:

Post a Comment