My Add

Saturday 15 October 2011

LMP pula 'serang' Kedutaan Besar Malaysia


Sebahagian daripada peserta demonstrasi membawa sepanduk berbentuk provokasi di luar pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, semalam.
                                          Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
Utusan Malaysia
JUMAAT, 14 Oktober, 2011: Jika semalam, pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta 'diserang' oleh kumpulan Forum Betawi Rempug (FBR), hari ini sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan, Laskar Merah Putih (LMP) turut mengadakan tunjuk perasaan yang sama.

Bezanya, tindakan LMP hari ini tidak liar dan ganas seperti mana FBR yang selama ini cukup terkenal sebagai pejuang hak asasi kemanusiaan rakyat Indonesia.

Namun, kehadiran 70 penunjuk perasaan yang mewakili LMP tetap memperlihatkan rasa kurang hormat mereka kepada kedaulatan Malaysia.

Pelbagai penghinaan dan cacian dilemparkan dalam aksi tunjuk perasaan yang berlangsung selama satu jam setengah itu.

Mereka turut membawa pelbagai sepanduk yang mengecam Malaysia dengan tulisan berbaur provokasi.

Aksi tunjuk perasaan yang dipimpin oleh Ketua Umum LMP, Adek Erfil Manurung mendokong misi yang sama dengan FBR iaitu membantah tindakan Malaysia yang didakwa kononnya mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat.

Isu sempadan Malaysia-Indonesia di Kalimantan Barat sejak seminggu lalu dihangatkan oleh media tempatan.

Pada demonstrasi hari ini juga, LMP turut mengemukakan pernyataan sikap kepada seorang kakitangan Kedutaan Besar Malaysia yang meminta kerajaan Malaysia menyelesaikan isu perbatasan antara kedua-dua negara.

Kumpulan itu turut menegaskan, untuk mengadakan demonstrasi yang sama secara besar-besaran pada 28 Oktober ini.

Isu pertikaian sempadan itu berlaku apabila Timbalan Ketua Suruhanjaya 1, Dewan Perwakilan Rakyat Tb Hasanuddin hujung minggu lalu mendakwa Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu, yang didakwa telah diambil oleh Malaysia.

Dakwaan beliau bagaimanapun segera disangkal beberapa menteri kabinet Indonesia kerana ia tidak berasas.

Mereka ialah Menteri Penyelaras Kementerian Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Djoko Suyanto; Menteri Luar Marty Natalegawa; Menteri Dalam Negeri Gamawan Fauzi; dan Menteri Pertahanan Purnomo Yusgiantoro.

Malaysia mangsa permainan politik Ahli Parlimen pembangkang Indonesia

MALAYSIA menjadi mangsa permainan politik dalaman Indonesia oleh Ahli Parlimen pembangkang di negara itu sehingga mencetuskan insiden pejabat kedutaan Malaysia di Jakarta diserang.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan perbuatan itu sebagai sengaja meraih politik murahan dengan menjadikan isu sempadan di Kalimantan untuk meraih populariti dan sokongan.

Menurutnya, Malaysia bukan sasaran sebenar tetapi disebabkan oleh pergolakan politik di Indonesia, mereka menjadikan Malaysia sebagai alasan.

"Ini permainan politik pembangkang Indonesia, saya anggap ini politik murahan yang tidak bertanggungjawab kerana sengaja melibatkan negara Malaysia yang berdaulat.

"Saya syorkan dan minta Ahli Parlimen Indonesia supaya hentikan segera perbuatan ini kerana mereka tidak akan tahu implikasi negatif dan besar kalau ia berterusan," katanya di Putrajaya, semalam.

Terdahulu beliau menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Jepun, Koichiro Gemba yang sedang dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia.

Anifah berkata demikian ketika mengulas insiden terbaru kumpulan dari Forum Betawi Rempug (FBR) yang berdemonstrasi di hadapan kedutaan Malaysia di Jakarta semalam sehingga menyebabkan kerosakan di pagar bangunan kedutaan.

Aksi tunjuk perasaan yang dipimpin oleh Pengarah FBR, Edwan Hamidy tercetus ekoran kenyataan Naib Ketua Komisi 1, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), T.B Hasanuddin yang mendakwa Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu.

Susulan itu, empat menteri Indonesia iaitu Menteri Penyelaras Kementerian Politik, Undang-Undang dan Keselamatan, Djoko Suyanto; Menteri Luar, Marty Natalegawa; Menteri Dalam Negeri, Gamawan Fauzi dan Menteri Pertahanan, Purnomo Yusgiantoro menafikan dakwaan berkenaan yang disifatkan sebagai tidak berasas.

Hakikatnya, tidak timbul sebarang pertikaian sempadan antara Indonesia dan Malaysia kerana kedua-dua negara merujuk pada perjanjian persefahaman yang dibuat semasa era pemerintahan Belanda dan British pada 1891, 1915 dan 1928.

Tegas Anifah, Malaysia akan mengemukakan nota bantahan kepada Indonesia berhubung perkara itu kerana ia boleh menjejaskan hubungan akrab kedua-dua negara.

"(Jika diperlukan untuk mengelak pertikaian) Malaysia tidak menghadapi sebarang masalah untuk membawa juru ukur meletakkan batu tanda di perbatasan kita," katanya.

Tegas beliau, sebagai sebuah negara berdaulat yang maruahnya harus dipertahankan, pemimpin pembangkang Indonesia perlu segera menghentikan tuduhan liar terhadap negara ini.


No comments:

Post a Comment