My Add

Thursday 6 October 2011

Tahanan dibebas selewat-lewatnya hari ini - Hishammuddin


KUALA LUMPUR: Semua 125 individu yang ditahan di bawah Perintah Kediaman Terhad dijangka dibebaskan selewat-lewatnya esok, selepas segala dokumentasi mengenainya diselesaikan oleh ketua polis daerah di mana mereka ditahan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, arahan mengenai pembebasan semua tahanan sudah ditandatangan dan polis akan melaksanakan tugas tersebut sebaik mungkin.

Pada masa yang sama, beliau memberi jaminan bahawa keselamatan orang ramai tidak terjejas dengan keputusan kerajaan membebaskan individu berkenaan kerana segala langkah perlu sudah dan sedang diambil oleh polis.

"Saya jangka paling awal semua mereka akan dibebaskan esok, tetapi paling penting kita memberi keutamaan kepada soal keselamatan orang ramai.

"Kita memberi jaminan bahawa keselamatan orang ramai terjamin dan begitu juga soal keselamatan semasa pembebasan tahanan tersebut dibuat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sidang Dewan Rakyat hari ini mengumumkan pembebasan 125 tahanan di bawah Perintah Kediaman Terhad 1933, berkuatkuasa serta merta ekoran pemansuhan akta tersebut.

Selain daripada pembebasan 125 tahanan berkenaan, Kementerian Dalam Negeri juga akan membatalkan lebih 200 waran yang belum disampaikan kepada suspek, berkuatkuasa serta merta.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya telah bersedia dan mempunyai mekanisme khas untuk melaksanakan arahan tersebut dengan sebaik mungkin tanpa menimbulkan keresahan kepada masyarakat.

Katanya, orang ramai tidak perlu merasa bimbang dengan pembebasan 125 tahanan berkenaan kerana negara masih mempunyai banyak undang-undang lain yang boleh digunakan bagi melindungi keselamatan rakyat.

"Kita memang sudah bersedia dengan pengumuman pembebasan ini. Polis sudah bergerak dengan mekanisme tertentu sejak awal-awal lagi dan kami memberi jaminan bahawa keselamatan rakyat akan sentiasa terjamin," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment