My Add

Thursday 20 October 2011

Penglibatan pelajar Afrika dalam jenayah rendah, terkawal

Bernama
KHAMIS, 20 Oktober, 2011: Penglibatan pelajar asing terutamanya dari benua Afrika dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial di negara ini adalah rendah dan terkawal, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, terdapat 66 kes membabitkan pelajar warga Afrika atas pelbagai jenis kesalahan jenayah daripada kira-kira 20,000 pelajar dari benua itu di Malaysia pada masa ini.

"Kita tidak boleh menghukum pelajar Afrika yang betul-betul mahu belajar hanya kerana beberapa rakan mereka melakukan jenayah, itu tidak adil.

"Kita sepatutnya memberi peluang kepada mereka untuk menuntut ilmu di sini bagi memajukan negara mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Syarahan Kepimpinan Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media berhubung peningkatan pelajar asing di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terutamanya dari benua Afrika dalam kegiatan jenayah selain tinggal melebihi masa ditetapkan di negara ini.

No comments:

Post a Comment