My Add

Thursday 6 October 2011

Politik melampau untuk tutup kisah silam

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memutuskan tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan Pemuda Pas kononnya berlaku penyelewengan dalam pengeluaran kad pengenalan.

Agensi itu dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, ini kerana JPN hanya mengeluarkan kad pengenalan kepada mereka yang benar-benar layak berdasarkan peruntukan perundangan negara ini.

Sehubungan itu, isu berkaitan individu yang didakwa mempunyai nama yang sama dan memiliki nombor kad pengenalan yang hampir sama tidak timbul.

"Rekod JPN menunjukkan sembilan daripada 10 nama disahkan merupakan individu yang berlainan berdasarkan kepada gambar dan cap jari yang berbeza.

"Tetapi mereka mempunyai persamaan hanya pada nama dan tarikh lahir sahaja manakala individu yang ke-10, Azinah binti Mohd Fazin (800820-02-5150) tiada rekod di jabatan ini.

"Ini menunjukkan bahawa dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh pihak Pemuda Pas melalui memorandum bertarikh 21 September 2011 yang dihantar kepada Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Malaysia adalah tidak benar," menurut kenyataan itu di sini.

JPN memberikan reaksi demikian sebagai maklum balas terhadap memorandum Pemuda Pas yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat penyelewengan pengeluaran kad pengenalan.

Bagi isu berkaitan kad pengenalan palsu dalam daftar pemilih induk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), JPN menegaskan ia tidak pernah mengeluarkan kad pengenalan palsu.

Sebaliknya JPN hanya membekalkan rekod yang sahih sahaja kepada SPR untuk tujuan semakan identiti daftar pemilih.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa nombor pengenalan diri 12 digit pada kad pengenalan mula digunakan pada 1990 dan merupakan kombinasi di antara tarikh lahir, kod negeri/negara tempat lahir serta nombor siri janaan komputer bagi menjadikan nombor tersebut unik dan tiada pertindihan.

Kod negara '71' yang terdapat dalam nombor pengenalan diri telah digunakan mulai 1990.

Pada masa itu kod khusus bagi setiap negara luar masih belum diwujudkan yang mana hanya kod negara '71' diguna pakai bagi semua kelahiran warganegara Malaysia dan Pemastautin Tetap Malaysia di luar negara.

"Mulai tahun 2001, kod negara secara khusus bagi pengenalpastian negara kelahiran individu telah diwujudkan bertujuan untuk membezakan kod kelahiran individu di luar negara. Senarai kod-kod negara luar yang dimaksudkan itu boleh dilayari melalui Portal Rasmi JPN di www.jpn.gov.my," tambah kenyataan itu.

Bagaimanapun, nombor pengenalan diri yang telah dikeluarkan menggunakan kod negara '71' sebelumnya, adalah sah dan terpakai bagi pemilik sedia ada.- Utusan

No comments:

Post a Comment