My Add

Thursday, 8 May 2014

Ajar bahasa Tamil di sekolah menengah

MELAKA, RABU, 07 Mei, 2014: Bahasa Tamil dicadangkan agar dapat dijadikan bahasa ibunda bagi pelajar-pelajar India dengan menyediakan kelas pada waktu biasa di semua sekolah menengah seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, kementerian mempunyai dasar mengenai perkara tersebut namun buat masa ini pelaksanaannya bergantung kepada permintaan oleh ibu bapa serta pelajar itu sendiri.

Malah menurutnya, telah terdapat beberapa buah sekolah yang melaksanakan kelas Tamil bagi pelajar India dalam waktu biasa di beberapa negeri termasuk Melaka.

"Bagaimanapun, dasar ini memerlukan ibu bapa serta pelajar itu sendiri meminta untuk diadakan dalam waktu belajar biasa contohnya terdapat permintaan daripada 15 pelajar di sekolah tersebut maka ia akan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan guru-guru besar sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) seluruh negeri di Hotel Hatten, Banda Hilir, di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi MIC negeri, Datuk M.S. Mahadevan dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Mutalib Osman.

Jelas Kamalanathan, dengan wujudnya kelas bahasa Tamil di sekolah menengah, ia juga secara tidak langsung mampu menarik minat pelajar lain untuk menambah subjek tersebut sebagai bahasa ketiga.

"Usaha ini mampu dijayakan dengan bantuan Jabatan Pendidikan negeri masing-masing dan saya percaya, jika terdapat ibu bapa serta pelajar yang memohon kelas tersebut, pihak sekolah pasti akan memberi ruang terhadap perlaksanaannya," ujarnya.

Beliau turut memuji usaha dilaksanakan Jabatan Pendidikan Melaka yang sehingga kini telah melaksanakan kelas Tamil bagi pelajar India di 42 buah sekolah menengah di negeri ini.

Sementara itu tambahnya, perjumpaan bersama 21 guru besar SJKT tersebut turut melibatkan perbincangan mengenai projek pembangunan serta tapak baharu bagi sekolah-sekolah Tamil di Melaka yang telah diperuntukkan dalam Pakej Rancangan Khas.

"Perbincangan turut merangkumi penyelesaian isu yang timbul serta cadangan dikemukakan para pendidik bagi membantu mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai guru," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment