My Add

Thursday, 8 May 2014

Lambakan produk menyerupai rokok

Oleh Mohd. Sahrul Mohd. Sah
 
 * CONTOH produk yang menyerupai rokok dan disasarkan penjualannya kepada golongan kanak-kanak pada sidang akhbar oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/MOHD. SAHRUL MOHD. SAH
PULAU PINANG, RABU, 07 Mei -, 2014: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa membendung lambakan pro­duk menyerupai rokok yang menyasarkan go­longan kanak-kanak dan dijual dengan bebas di pasaran tempatan.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris (gambar), berkata, pihaknya bimbang dengan tindakan syarikat dan peniaga yang tidak bertanggungjawab memasarkan produk yang kelihatan seperti rokok dan kotak rokok di mana secara tidak langsung situasi itu menggalakkan kanak-kanak menjadi perokok.

Beliau berkata, dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati kesemua produk yang dipercayai di bawa masuk ke Malaysia dari Korea itu mudah dibeli dari kedai runcit, kedai barang permainan dan kedai cenderamata.

"Kanak-kanak secara tidak sedar akan tertarik apabila melihat bungkusan yang kelihatan hampir sama dengan kotak rokok dan apa sahaja yang diperkenalkan kepada mereka akan membuatkan golongan kanak-kanak percaya bahawa produk ini boleh diterima dalam kehidupan mereka.

"Walaupun terdapat pelbagai usaha untuk membendung tabiat merokok di seluruh dunia, namun masih ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mematahkan usaha murni ini dan lebih membimbangkan adalah seolah-olah tiada penguatkuasaan ke atas segala aktiviti ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Antara produk yang dikesan adalah sejenis gula-gula berjenama Loveciga Candy dalam bungkusan merah dan hijau yang kelihatan seakan-akan jenama rokok yang popular.

Satu lagi contoh adalah buku nota berjenama Cigarette Notepaper yang mengandungi helaian kertas dan boleh digulung menjadi bentuk rokok dan mampu membuatkan kanak-kanak cende­rung memasukkan gulungan kertas itu ke dalam mulut mereka dan meniru perbuatan seorang perokok.

Menurut S.M. Mohamed, kebanyakan produk-produk itu mempunyai cetakan perkataan seperti lowered tar & nicotine, tembakau membahayakan kesihatan dan light yang tidak mempunyai kaitan dengan kandungan bahan.

Katanya, CAP percaya bahawa perkataan-perkataan yang tercetak itu mempunyai motif tersendiri dalam memperkenalkan ‘bahasa rokok’ kepada golongan kanak-kanak.

Sehubungan itu, beliau berharap langkah-langkah penguatkuasaan perlu diambil untuk mengekang pengeluaran dan penjualan produk sedemikian yang menyasarkan kanak-kanak kerana ia mempengaruhi mereka menjadi perokok di kemudian hari. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment