My Add

Tuesday 27 May 2014

Aset pelaburan hampir RM600 bilion

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR, ISNIN 26 Mei, 2014: Aset pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melonjak 11.27 peratus kepada RM597.02 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2014 berbanding RM536.55 bilion pada tempoh sama tahun lalu didorong oleh caruman bersih daripada ahli dan majikan serta prestasi pelaburan yang menggalakkan.

Dalam tempoh itu juga, KWSP turut menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM8.83 bilion berbanding RM5.6 bilion pada suku sama 2013. Peningkatan lebih daripada 50 peratus dalam prestasi pelaburan KWSP dipacu terutama oleh pulangan daripada pelaburan ekuiti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan (gambar) berkata, berdasarkan purata pertumbuhan pesat aset pelaburan antara 10 hingga 11 peratus setiap tahun, KWSP akan terus mempelbagaikan aktiviti pelaburan jangka panjang merentasi pasaran dan sektor selaras dengan Peruntukan Aset Strategik (SAA) sekali gus mengambil peluang untuk mengimbangi portfolionya bagi tujuan risiko dan pulangan optimum.

"Secara dasarnya, prestasi suku pertama tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu tetapi ini tidak boleh menjadi petunjuk prestasi keseluruhan bagi 2014 kerana ia bergantung kepada keadaan ekonomi dan pasaran.

"Pada masa sama, prestasi KWSP pada suku pertama 2013 terjejas berikutan ketidaktentuan Pilihan Raya Umum ke-13 dan pemulihan peringkat awal ekonomi global yang memberi kesan terhadap keupayaan KWSP untuk memperoleh pulangan lebih tinggi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Laporan suku pertama 2014 KWSP menunjukkan 52 peratus dana dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah, 43 peratus dalam pelaburan ekuiti dan selebihnya dalam instrumen pasaran wang, hartanah dan infrastruktur.

Dalam pada itu, jumlah pendedahan pelaburan luar negara ialah 21.22 peratus daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan berdasarkan nilai buku setakat suku pertama tahun ini.

Pelaburan global kekal menjadi sumber penting kepelbagaian dan pulangan kepada KWSP dengan menyumbang kira-kira 27 peratus keseluruhan pendapatan.

Berdasarkan prestasi pada suku pertama tahun ini, ekuiti menjadi penyumbang terbesar dalam portfolio KWSP dengan menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM4.84 bilion berbanding RM1.86 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment