My Add

Tuesday 27 May 2014

Komited jadikan NCER hab automotif

TOKYO, ISNIN 26 Mei, 2014: Misi perniagaan dan pelaburan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke sini termasuk di Hiroshima baru-baru ini membuktikan komitmennya menjadikan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sebagai hab automotif.

Dalam misi tersebut yang diketuai oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq, agensi tersebut antaranya berjaya mengadakan beberapa pertemuan dengan syarikat komponen automotif termasuk pengeluar kereta terkemuka Jepun, Mazda Corporations (Mazda Corp.) di Hiroshima.

Pertemuan dengan dua syarikat komponen kereta Delta Kogyo Co. Ltd., (Delta) pengeluar kerusi kereta bagi Mazda6 dan Hirotec Corporation (Hirotec) iaitu pengeluar pintu dan ekzos kereta untuk model sama dilihat sangat optimis.

Industri automotif di NCER semakin kukuh dengan kehadiran pemain kuat dalam industri seperti Inokom di Kulim dan Naza di Gurun yang sehingga kini melakukan pemasangan tempatan (CKD) untuk 13 model kereta.

Menurut Redza, NCIA berhasrat agar industri automotif di Kedah berkembang seperti industri lain dan apa yang penting untuk mewujudkan rantaian automotif di wilayah ini dengan peluang perniagaan yang luas di peringkat global.

"Oleh itu, NCIA bekerjasama rapat dengan industri untuk mewujudkan kelompok automotif seperti kemasukan syarikat pengeluar kereta Jepun terkemuka Mazda Corp., menjadi pemangkin kepada usaha ini.

"Kami juga bekerja dengan Inokom, PKT Logistik dan Tayar Toyo untuk membantu mereka berkembang di wilayah utara,'' katanya pada misi bermula 19 hingga 23 Mei yang bertujuan menarik lebih banyak pelaburan dari negara tersebut terutama dalam sektor automotif.

NCIA optimis dengan perkembangan tersebut dan sudah mengenal pasti lokasi yang bersesuaian di Gurun atau Kulim dengan menjadikan pelaburan Mazda sebanyak RM100 juta untuk membuka kilang pengeluaran di Kulim sebagai rangsangan utama.

Misi tersebut juga menjelaskan tentang kesungguhan Mazda Corp., mengembangkan sektor automotif di wilayah utara dengan memeterai kerjasama antara NCIA bagi program latihan kemahiran apabila sebanyak 34 tenaga kerja mahirnya dihantar bagi melatih pekerja kilangnya di Inokom.

Program latihan bertujuan untuk membantu Mazda dalam rancangan pengembangan mereka bagi NCER, sekali gus menjadikan Malaysia hab pengeksport kereta di rantau ini.

Pengurus Besar Kilang Mazda Corp. Hiroshima, Masatoshi Maruyama berkata, pihaknya berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan pemain industri automotif di wilayah tersebut demi mengukuhkan pengeluaran dan pasarannya.

Pada 2012, sektor automotif menyumbang dalam bentuk cukai negara sebanyak RM9.8 bilion dan di rantau ASEAN, Malaysia merupakan pasaran kereta ketiga terbesar yang terus memanfaatkan semua pihak.

Menjelang 2020, NCIA menjangkakan wilayah ini menerima kesan limpahan ekonomi sebanyak RM3 bilion.

NCIA turut melahirkan keyakinan dengan peningkatan pelaburan di wilayah utara terutama di Kedah ekoran pelbagai inisiatif dan pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah seperti dibentang pada Seminar Pelaburan Kedah di Tokyo pada 23 Mei. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment