Banteras penyelewengan diesel subsidi
Oleh Zulkiflee Bakar
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 Mei, 2014: Sampai bila? Itulah persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak apabila sehingga hari ini pihak berkuasa masih gagal menemui formula bagi menangani penyelewengan dan penyalahgunaan diesel subsidi.
Dari semasa ke semasa, jumlah bahan bakar itu yang diseleweng bukannya berkurangan, sebaliknya semakin meningkat sehingga menimbulkan persoalan apakah pihak berkuasa termasuk kementerian terlibat terlalu lemah untuk bertindak?
Berdasarkan satu maklumat yang diterima, daripada sejumlah 8.5 bilion liter diesel subsidi yang diguna pakai oleh kenderaan komersial, 3.5 bilion liter telah disalahgunakan akibat aktiviti penyeludupan dan kegiatan mengaut untung keterlaluan termasuk melalui cara gelap.
Statistik ini menunjukkan hanya 5 bilion liter digunakan secara betul atau dimanfaatkan. Malah lebih membingungkan bagaimana ini boleh berlaku dan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM1.2 bilion akibat sindiket penyeludupan petrol dan diesel subsidi.
Keadaan ini sudah tentu menimbulkan persoalan sampai bila ketirisan, penyelewengan dan perbuatan yang boleh disifatkan sabotaj kepada ekonomi negara akan berterusan? Apakah pihak yang terlibat hanya mampu memerhatikan gejala ini tanpa mengetahui cara untuk menamatkan perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut?
Dan sudah pasti ramai tertanya-tanya, adakah sindiket yang terlibat begitu kuat dan berpengaruh sehingga pihak berkuasa begitu sukar untuk mengesan mereka atau sememangnya berlaku perbuatan harapkan pegar, pegar makan padi, apabila sesetengah pihak yang dipertanggungjawab dalam soal ini mengamalkan sikap tutup mata sahaja?
Sementara kejayaan pihak berkuasa khususnya melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membanteras penyeludupan diesel subsidi dihargai tetapi sampai bilakah kegiatan harus dibiarkan berterusan dan bilakah ia akan berakhir?
Bagaimanapun membanteras perbuatan itu bukan terletak kepada kementerian tersebut semata-mata malah ia lebih banyak berada dalam bidang kuasa agensi lain khususnya mereka yang bertanggungjawab memeriksa depoh minyak di negeri.
Utusan Malaysia difahamkan, penyelewengan diesel subsidi ini juga dikatakan melibatkan peranan orang dalam dan sesetengah stesen minyak bersedia menjadi musuh dalam selimut kepada usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat melalui pemberian subsidi.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila ada pula golongan nelayan yang mengalami kesempitan hidup mengambil jalan mudah dengan menyeleweng diesel subsidi dan dijual kepada sindiket untuk meraih untung segera.
Berikutan kegiatan penyelewengan bahan bakar itu yang dianggap semakin serius dan mungkin juga sudah tidak terkawal, kerajaan wajar memikirkan satu langkah drastik dan kaedah paling berkesan bagi membanteras perbuatan berkenaan.
Dalam soal ini, seharusnya tiada lagi kompromi dengan mana-mana juga pihak termasuk dalam kalangan kakitangan agensi kerajaan sendiri yang bersedia menjadi pengkhianat kepada usaha murni kerajaan untuk membantu rakyat.
Ini memandangkan perbuatan itu mendatangkan kerugian berbilion-bilion ringgit kepada kewangan kerajaan dan sekali gus dalam jangka masa panjang boleh membawa kesan buruk kepada ekonomi negara. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment