My Add

Saturday, 10 May 2014

Utamakan kecemerlangan ahli akademik, program dan institusi

 * MUHYIDDIN Yassin memegang buku Akept bersama Dr. Mohd. Majid Konting (tiga dari kanan) selepas sesi bergambar pada majlis Perasmian Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, semalam. Turut sama, Idris Jusoh, Dr. Madinah Mohamad (empat dari kiri) dan Dr. Ir Zaini Ujang (kiri). - Utusan/ASWAD YAHYA
SEREMBAN, JUMAAT, 09 Mei, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mengejar kedudukan universiti dalam ranking dunia bukanlah asas utama dalam memacu pengajian tinggi ke arah kecemerlangan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ini kerana kriteria ranking sebahagian besarnya adalah berteraskan persepsi dan kayu pengukur yang mungkin tidak semuanya memenuhi hasrat negara.

“Perkara lebih pokok kepada kepentingan negara adalah memastikan kecemerlangan ahli akademik, program dan institusi memenuhi aspek 3R iaitu ‘relevant, referred dan respected’," katanya ketika berucap pada program ‘retreat' Penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Sektor Pengajian Tinggi) di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) Bandar Enstek dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan I, Datuk Dr. Madinah Mohamad; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan II, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dan Pengarah Akept, Prof. Dr. Mohd. Majid Konting.

Kata Muhyiddin, amat perlu institusi tersebut mencari kekuatan bidang tujahan negara dan menjadi pemimpin dunia dalam bidang-bidang itu.

“Ini adalah kayu ukuran yang lebih bermakna dan bersesuaian kepada semua jenis institusi pengajian tinggi negara. Saya juga berpandangan, penekanan kepada aspek yang dikatakan fundamental dalam perkembangan universiti dan pengajian tinggi akan melestarikan kecemerlangan," kata beliau.

Mengenai Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang digubal pula, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menjelaskan, pelan itu bagi melahirkan modal insan untuk menyokong teras Misi Nasional dalam meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama.

Kata beliau, antara perkara yang sering ditimbulkan oleh masyarakat mengenai pengajian tinggi ialah graduan yang dihasilkan dan sebab itulah PSPTN dijenamakan semula supaya dapat menghasilkan graduan yang berpengetahuan dan kompeten dalam bidang pengajian serta berkemampuan untuk menterjemahkan pengetahuan kepada amalan.

“Graduan perlu berinovatif, mempunyai kebolehan kognitif yang tinggi, iaitu berfikiran analitikal dan kritikal serta berupaya menyelesaikan masalah dan mempunyai tahap penaakulan yang tinggi.

“Mereka juga hendaklah menguasai pelbagai bahasa dengan keupayaan berkomunikasi secara berkesan serta celik teknologi, menghayati nilai-nilai murni sebagai asas kehidupan dan mampu untuk memberikan sumbang bakti kepada masyarakat, negara dan dunia," kata Muhyiddin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment