My Add

Wednesday 28 May 2014

PIAM setuju mudahkan tuntutan insurans

KUALA LUMPUR, SELASA 27 Mei, 2014: Ahli-ahli Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) telah bersetuju untuk memudahkan proses tuntutan insurans kemalangan penumpang dan anak kapal pesawat MH370, dengan waris mangsa tidak perlu menyertakan sijil kematian bagi melakukan tuntutan.

Persetujuan itu telah dicapai secara bersama oleh ahli-ahli PIAM yang terdiri daripada 29 syarikat, demi membolehkan keluarga mangsa mendapat kemudahan sebaiknya.

Pengerusi PIAM, Chua Seck Guan berkata, langkah membantu keluarga mangsa itu turut meliputi usaha mempercepatkan proses tuntutan dan penerimaan pampasan secepat mungkin.

Jelas beliau, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh PIAM sendiri, terdapat ahlinya yang menyelesaikan proses tuntutan dalam tempoh dua hari bekerja, jika semua lampiran yang diperlukan dapat disediakan.

"Kesemua 15 syarikat insurans yang didapati secara langsung melindungi penumpang dan anak kapal MH370 telah bersetuju memudahkan proses tuntutan,'' katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak industri sungguh komited untuk menyediakan bantuan yang diperlukan di dalam kes MH370.

Kesemua syarikat insurans yang terlibat berada pada kedudukan yang baik bagi membayar pampasan pada kadar segera, jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment