My Add

Wednesday 28 May 2014

Didenda RM1,200 pukul teman wanita

KUALA LUMPUR, SELASA 27 Mei, 2014: Berang dengan kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) antara kekasihnya dengan rakan-rakan wanita itu, seorang pekerja kedai bertindak menumbuk dan menampar teman wanitanya itu di dalam kereta Khamis lalu.

Bukan itu sahaja, lelaki terbabit yang juga bapa kepada seorang anak berusia dua tahun turut membaling telefon bimbit tersebut ke kepala teman wanitanya serta mengugut mangsa dengan kata-kata kasar.

Namun hari ini, Johan Irwan Azri, 23, tanpa segan silu menangis di Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah atas tuduhan mencederakan teman wanitanya yang juga seorang pelajar berusia 19 tahun.

Tertuduh didakwa mencederakan mangsa dengan menumbuk, menampar dan memukul muka, leher dan kepala serta turut mengakibatkan mata kiri mangsa cede­ra kira-kira pukul 8.20 pagi, 22 Mei lalu di Kampung Batu Muda, Sentul dekat sini.

Dakwaan terhadapnya yang tidak diwakili peguam bela, dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Ketika rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Johan Irwan yang menitiskan air mata memohon agar hukuman ke atasnya dikurangkan memandangkan dia amat menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Tertuduh juga memaklumkan dia kini tinggal bersama-sama ibunya dan hanya bekerja di sebuah kedai dengan gaji bulanan RM1,000.

Ketika ditanya oleh Majistret Nurul 'Ain Abdul Rahim punca perceraiannya dengan bekas isteri, tertuduh mengatakan dia menceraikan isterinya kerana ada teman wanita baharu.

"Belum kahwin dah pukul, nanti dah kahwin macam-macam lagi," tegas majistret tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Joy Jothi Nadharajah bagaimanapun memohon agar satu hukuman se­timpal dikenakan ke atas tertuduh se­bagai pengajaran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,200 atau penjara tiga bulan terhadap tertuduh. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment