My Add

Wednesday 28 May 2014

Kematian Beng Hock tiada unsur jenayah

PUTRAJAYA, SELASA 27 Mei, 2014: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, kematian setiausaha politik Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock tidak wajar dikaitkan dengan kes bunuh kerana kete­rangan saksi-saksi tidak menjurus kepada unsur jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya, Mo­hamad Abazafree Mohd. Abbas berhujah, kematian men­diang bukan aki­bat dibunuh atau bu­nuh diri kerana keterangan saksi-saksi pakar tidak menyokong wujudnya unsur sedemikian.

Beliau turut meng­hujahkan, tiada seba­rang keterangan bahawa kematiannya di­akibatkan oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak-pihak lain.

Hujah pendakwa raya, berdasarkan siasatan tiada bukti menunjukkan Beng Hock di­bunuh, wujud tekanan atau ugutan yang membawa kepada kematiannya atau sebarang tanda pergelutan mahupun senjata ditemui di tempat kejadian.

Menurut Mohamad Abazafree, keterangan saksi-saksi juga menunjukkan tiada luka mempertahankan diri ditemui pada mendiang yang boleh mengaitkannya dengan kehadiran pihak ketiga.

Beliau berhujah agar rayuan itu ditolak kerana tiada kepastian apakah yang menyebabkan mendiang jatuh ke atas koridor tingkat 5 Plaza Masalam yang membawa kepada kematiannya.

Sehubungan itu, pendakwa raya menghujahkan, Mahkamah Tinggi betul sewaktu menolak untuk mengubah keputusan terbuka yang dicapai oleh Mahkamah Koroner selepas berpuas hati bahawa tidak cukup bukti untuk mengaitkan kematiannya dengan kes bunuh atau bunuh diri.

Mahkamah sedang mendengar rayuan dikemukakan oleh Teoh Meng Kee terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 5 Januari 2010 yang membuat keputusan terbuka bahawa kematian Beng Hock bukan akibat bunuh diri atau dibunuh dan juga mendapati tiada penglibatan pihak ketiga dalam kematian itu.

Meng Kee merupakan abang Beng Hock, 30, yang ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, tempat terletaknya Ibu Pejabat SPRM Selangor sebelum ini, pada pagi 16 Julai, 2009.

Semalam, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Meng Kee berhujah agar Mahkamah Rayuan mengubah keputusan terbuka berhubung punca kematian pembantu politik DAP itu dan menggantikannya dengan kes bunuh.

Meng Kee merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Disember 2011 yang menolak permohonan semakannya terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 5 Januari 2010.

Sementara itu, pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen (kini bersara), memutuskan bahawa kematian Beng Hock adalah akibat bunuh diri.

Rayuan yang didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof yang bersidang bersama Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer bersambung esok. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment