My Add

Wednesday 28 May 2014

Ekspo Makanan Laut Antarabangsa Jun ini

 Irmohizam Ibrahim
KUALA LUMPUR, SELASA 27 Mei, 2014: Ekspo Makanan Laut Antarabangsa Malaysia (MISE) akan kembali me­nemui peminat makanan laut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan bertemakan Mempamerkan Makanan Laut Terbaik Dunia mulai 19 hingga 21 Jun ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, MISE 2014 yang akan dianjurkan untuk kali ketiga sejak pertama kali diadakan pada 2009 itu selaras dengan usaha kerajaan mentransformasikan subsektor perikanan dan mening­katkan pengeluaran makanan negara yang menepati kehendak pasaran, piawaian dan keselamatan makanan.

Menurut beliau, lebih 200 ruang pameran akan disediakan kepada syarikat dan firma yang berdaya saing dan berpotensi mengeluarkan produk terpilih bagi mempromosikan pelbagai produk perikanan dari dalam dan luar negara.

"LKIM menya­sarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada ruang pameran akan dipenuhi 14 pempamer antarabangsa.

"Kita juga yakin potensi jualan sebanyak RM200 juta nilai perdagangan ikan dan produk berasaskan ikan dapat dijana melalui penganjuran ekspo perdagangan kali ketiga ini," katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Menurut Irmohizam, lima aktiviti utama akan diadakan sepanjang MISE 2014 iaitu pame­ran produk perikanan, sesi padanan perniagaan, demonstrasi masakan, persampelan produk kepada pengunjung dan persidangan.

Beliau berkata, objektif utama penganjuran MISE adalah mempromosi dan memperkembangkan pasaran komoditi dan produk hasil perikanan domestik ke pasaran antarabangsa dan menjadikan Malaysia sebagai hab perdaga­ngan makanan laut di wilayah Asia Pasifik.

No comments:

Post a Comment