My Add

Wednesday 28 May 2014

Tingkat hubungan erat

Oleh Rozaman Ismail

 * NAJIB Tun Razak menerima kunjungan hormat Gabenor Shanxi, Low Qin Jian di hotel penginapan di Shanxi, China, semalam. Perdana Menteri dalam lawatan rasmi meraikan ulang tahun ke-40 hubungan dua hala Malaysia-China.
BEIJING, SELASA 27 Mei, 2014: Lawatan bersejarah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena ulang tahun ke-40 hubungan Malaysia-China akan menjadi pemangkin kepada hubungan lebih erat komuniti perdagangan ke­dua-dua buah negara.

Pesuruhjaya Perdagangan Kanan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Kedutaan Besar Malaysia di China, Abu Bakar Yusof berkata, lawatan ini dapat memberi ruang yang lebih besar kepada ahli-ahli perniagaan di Malaysia dan China mempertingkatkan hubungan dagang sedia ada.

"Syarikat-syarikat perniagaan kedua-dua buah negara melihat sambutan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China sebagai satu peluang terbaik memperkukuhkan hubungan perniagaan dan pelaburan menerusi satu platform yang sudah terjalin kukuh selama 40 tahun,'' katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri memulakan lawatan rasmi ke China selama enam hari, hari ini sempena ulang tahun ke-40 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

Menurut Abu Bakar, kerajaan China sendiri sangat mengalu-alukan masyarakat perniagaan Malaysia mengambil bahagian dalam reformasi ekonomi yang sedang berlaku di negara ini.

Katanya, bagi menjayakan proses pembaharuan ekonomi itu, China sendiri menggalakkan lebih banyak syarikat dari negara itu meneroka pelaburan di negara luar dan Malaysia menjadi salah satu destinasi pelaburan yang mendapat perhatian ahli-ahli perniagaan China.

Ini kata Abu Bakar, terbukti apabila Malaysia menjadi rakan perdagangan China terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN dan ketiga di Asia selepas Jepun dan Korea Selatan dengan nilai perdagangan kira-kira RM340 bilion (AS$106 bilion).

Beliau berkata, prestasi perdagangan antara kedua-dua negara tersebut sepanjang tahun 2000-2013 berkembang pada kadar 20.3 peratus manakala purata pertambahan eksport pula sekitar 20 peratus.

"Ini menunjukkan prestasi perdagangan China-Malaysia berkembang pesat dan dijangka dapat dikekalkan pada masa hadapan seterusnya mencapai sasaran AS$160 bilion menjelang tahun 2017," katanya.

Menurutnya, Malaysia memberi tumpuan kepada produk-produk eksport yang mempunyai nilai tambah seperti peralatan perubatan, komponen barangan elektrik dan elektronik berteknologi tinggi serta peralatan dan mesin berkaitan industri rawatan air dan sisa pepejal.

China pula di bawah strategi pembaharuan ekonomi kata beliau, akan menumpukan perhatian kepada pelaburan dalam sektor infrastruktur, pembinaan, besi dan keluli, minyak dan gas selain tekstil, komponen elektrik dan elektronik serta industri automotif.

Mengenai kesan insiden kehilangan pesawat MH370 terhadap produk-produk Malaysia di negara beliau berkata, kesannya hanya dapat dilihat pada peringkat awal sahaja terutama ke atas produk-produk makanan dari Malaysia.

Keadaan bagaimanapun katanya, sudah kembali pulih seperti biasa berikutan aktiviti promosi lebih agresif yang dilakukan Matrade serta kesedaran masyarakat perdagangan di negara ini sendiri tentang pentingnya memelihara hubungan perdagangan dan perniagaan dua hala yang sudah lama terjalin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment