My Add

Wednesday 28 May 2014

Penjelajah negara tamat rentasi Greenland

KUALA LUMPUR, SELASA 27 Mei, 2014: Mengharungi 'gurun' ais sejauh 540 kilometer dengan berjalan kaki dan menggunakan ski sambil menghe­ret sledge bukan perkara mudah untuk dilakukan lebih-lebih lagi oleh mereka yang datang daripada negara bercuaca tropika.

Namun itulah yang dilakukan oleh lapan anak muda berjiwa kental dari negara ini apabila pada awal pagi Ahad lalu (waktu Malaysia), berjaya menamatkan ekspedisi merentasi Greenland iaitu pulau terbesar di dunia yang 80 peratus permukaannya diliputi ais.

Selepas beberapa siri kejayaan sebelum ini termasuk Projek Everest Felda 2013, Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) Felda Greenland 2014 telah membuktikan sekali lagi kepada dunia bahawa rakyat Malaysia juga mampu melakukan aktiviti-aktiviti ekstrem atau mencabar.

Bercerita mengenai tahap kesukaran ekspedisi tersebut, Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, tiga kumpulan dari negara lain yang turut melakukan penjelajahan dalam tempoh sama terpaksa membatalkan ekspedisi mereka kerana mengalami frostbite atau reput fros akibat cuaca yang terlalu sejuk serta masalah kesihatan lain seperti sakit lutut.

Malah, kata beliau, ketika pe­ringkat awal perjalanan, penjelajah negara juga turut mengalami detik-detik mencemaskan apabila sebahagian daripadanya dilaporkan mengalami batuk berdarah sehinggakan ketua jurupandu arah, Maxime Poncet hampir-hampir mengambil keputusan untuk berpatah balik.

"Dalam mengharungi ekspedisi seperti ini, sememangnya penjelajah telah sedia maklum dengan pelbagai cabaran dan dugaan berat termasuk berani berdepan kematian.

"Namun mereka telah membuktikan, tiada apa yang dapat menghalang selagi mereka yakin dengan apa yang telah dilakukan dan cekal mengharungi segala kesulitan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Ekspedisi sulung negara itu dibarisi oleh Muhamad Shaiful Hisyam Abd. Aziz, 25; Yanizam Mohamad Supiah, 29; Abdul Rahman Abu Hassan, 31; Tahira Naj­munisaa Muhammad Zaid, 25; Mohd. Akasyah Jamaludin, 25; Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 34; Muhammad Musaddiq Samsudin, 25, dan Muhd. Hafizuddin Abdul Muthalib, 25.

Cabaran mereka bermula pada 28 April lalu dari Hahn Glacier, Ammasalik dan mengambil masa selama 27 hari untuk tiba di lokasi terakhir, Hill 660, Kangerlusuaq pada lewat malam 24 Mei waktu tempatan.

Para penjelajah ekspedisi tersebut yang mendapat sokongan daripada Felda selaku penaja utama selain Kerajaan Negeri Kedah dan RHB Bank, bakal dimuatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai kumpulan pertama dari negara ini dan Asia Tenggara yang menjelajah Greenland. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment