My Add

Saturday, 10 May 2014

El Nino: Tanaman padi dijangka terjejas

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 Mei, 2014: Sektor penanaman padi dan industri pengeluarannya dijangka mengalami kesan paling teruk jika fenomena El Nino iaitu perubahan cuaca yang mengakibatkan peningkatan suhu melanda negara ini pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan akan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan bekalan makanan terutama beras tidak terjejas termasuk kemungkinan menambah jumlah import.

Katanya, memandangkan pakar menjangka El Nino melanda Asia Tenggara, Malaysia menjadikan India sebagai alternatif untuk mengimport beras kerana kemungkinan Thailand dan Vietnam turut menghadapi masalah serupa.

Beliau berkata, kementeriannya telah pun berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak industri dan wakil pesawah bagi mengenal pasti kerugian yang bakal ditanggung serta bagaimana pendekatan terbaik yang perlu diambil bagi menghadapi El Nino.

“Paling teruk ialah pesawah kerana padi memerlukan air bertakung semasa proses awal tanaman berbanding tanaman lain yang cukup sekadar siraman. Di sawah, kadar takungan air itu tidak boleh rendah daripada sepatutnya kerana kalau tidak, anak padi akan mati.

“Kawasan yang paling teruk pula ialah bagi negeri-negeri bukan jelapang padi kerana sumber air dengan sawah adalah jauh," kata­nya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, di sini hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman; Pengerusi TEKUN, Datuk Hamidah Osman serta Pengarah Urusan TEKUN, Datuk Abdul Rahim Hasan.

Baru-baru ini, Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom meramalkan kemungkinan besar fenomena El Nino yang mengakibatkan kemarau berpanjangan sehingga tempoh enam bulan akan melanda rantau Asia Tenggara pertengahan tahun ini.

Fenomena tersebut pernah melanda negara ini 16 tahun lalu dengan suhu tertinggi mencecah 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

Ditanya sektor pertanian lain yang mungkin menerima nasib serupa, Ismail Sabri berkata, kajian masih dijalankan tetapi tidak menolak kemungkinan beberapa jenis tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran bakal menerima tempias fenomena El Nino. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment